PAGOH – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuhkan jaringan antarabangsa apabila menerima kehadiran lapan pelajar dari Rajalakshmi Institute of Technology (RIT), India bagi menyertai Program Mobiliti Inbound di Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) untuk semester II, sesi akademik 2024/2025.

Program yang berlangsung pada 13 hingga 19 April 2025 itu memberi peluang kepada pelajar RIT untuk memperluaskan pengalaman akademik mereka dalam bidang data analitik dan statistik industri, serta bertukar idea dengan pelajar dan pensyarah di UTHM.

Selain itu, mereka juga berpeluang untuk mendalami budaya Malaysia, selain mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua universiti.

Aktiviti itu merupakan kesinambungan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara UTHM dan RIT pada September 2024 lalu, yang bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi.

Sepanjang program itu, para peserta mobiliti telah mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti akademik dan sosial.

Mereka telah mengikuti beberapa kuliah di FAST, melawat ke kampus induk UTHM selain terlibat dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, yang memberi peluang kepada peserta untuk mendalami budaya Malaysia.

Dekan FAST, Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Hatijah Basri, turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta program mobiliti ini.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar antarabangsa untuk menimba ilmu, tetapi juga untuk membina hubungan lebih erat antara UTHM dan institusi pengajian tinggi di luar negara.

“Program yang diselaraskan oleh Prof. Madya Dr. Kavikumar Jacob (FAST) bersama Dr. Indumathi Arivarasu, pensyarah dari RIT itu diharapkan dapat memberi manfaat yang besar kepada peserta dan bidang akademik di kedua-dua institusi,” katanya.

UTHM berkomitmen dalam memperkukuhkan kerjasama antarabangsa dan menyediakan pelbagai peluang mobiliti bagi pelajarnya untuk memperluaskan pengalaman pendidikan mereka di peringkat global.

Dengan sokongan daripada fakulti dan pihak universiti, UTHM berharap lebih banyak program seperti itu dapat diteruskan, sekali gus memberi impak positif kepada perkembangan akademik dan profesional pelajar.