BATU PAHAT – Kelab Warisan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Bahagian Kebudayaan, Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti telah menyantuni asnaf di beberapa negeri melalui Program Khidmat Masyarakat (CSR) Bantuan Ramadan dan Hari Raya Peringkat Kebangsaan sekitar Mac lalu.
Majlis tertinggi kelab Warisan bersama penasihat kelab, Rosdi Abdullah telah memilih kumpulan asnaf di beberapa negeri untuk menerima bantuan berupa makanan seperti beras,gula dan tepung.
Pengerusi Kelab Warisan, Aiman Syauqie telah menyalurkan sumbangan tersebut di Kota Bharu, Kelantan, manakala Majlis Tertinggi Kelab Warisan yang lain turut menyampaikan sumbangan kepada asnaf di beberapa negeri iaitu di Pusa, Sarawak; Klang, Selangor; Kuala Berang, Terengganu; Lawas, Sarawak dan Gelang Patah, Johor.
Manakala Rosdi selaku penasihat kelab turut membuat agihan kepada asnaf di daerah Batu Pahat, Johor.
Menurut Aiman, pelaksanaan program seperti itu sangat bermakna kepada beliau dan rakan-rakan terlibat kerana pelajar UTHM bukan sahaja perlu hebat dalam kemahiran teknikal dan kejuruteraan tapi harus mempunyai jati diri dan nilai kemanusiaan yang tinggi.
“Mahasiswa hebat bukan sahaja perlu menguasai ilmu pendidikan di dalam kelas sahaja, tetapi juga perlu meningkatkan kemahiran insaniah masing-masing agar menjadi graduan yang kompeten dan memenuhi kehendak pasaran kerja,” katanya.
Kelab Warisan UTHM turut berharap sumbangan seumpama itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan asnaf dalam menjalani kehidupan sehari-hari.






Berita ini juga diterbitkan di:
1. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com.my), 16 April 2025: Kelab Warisan UTHM hulur sumbangan ringankan beban asnaf
