Oleh Aryanti Ahmad, Norashikin Johari
BATU PAHAT – Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit’ peringkat universiti pada 22 April 2025 lalu bagi menggalakkan lagi pengamalan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Bertemakan “Nikmati Saat Ini,” program tersebut telah dirasmikan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim.
Beliau dalam ucapannya menekankan kepentingan membaca dalam kehidupan seharian kerana amalan itu mampu merangsang minda untuk berfikir.
“Saya menyeru warga kampus untuk membaca sekurang-kurangnya 10 minit sehari agar dapat menambah ilmu di dada sepanjang hayat kita,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program Jom Baca Bersama untuk 10 minit, Suhaimi Mohd Sukor dalam ucapannya berkata PTTA sentiasa menyokong inisiatif untuk menyemai budaya membaca dalam kalangan masyarakat antaranya melalui aktiviti sumbangan buku ke sekolah-sekolah sekitar Johor, menjalankan program-program khidmat masyarakat melalui bantuan pembangunan perpustakaan serta Program Pemantapan Insani Khalifah (PETIK).
“Pihak kami berharap program ini menjadi pemangkin untuk menanam semula minat membaca dalam kalangan masyarakat kampus, sekali gus menyokong pembangunan literasi maklumat yang lebih baik,” katanya.
Program itu turut diserikan dengan sesi bual bicara bersama Iddin Ramli, penulis dan pempengaruh, yang membincangkan tajuk “Move On… Nikmati Saat Ini”.
Sesi tersebut bertujuan memberi inspirasi kepada hadirin melalui buku-buku terbitan Naseehat Sdn. Bhd. yang berkonsepkan ketuhanan dan motivasi.
Program ini bukan sahaja disertai oleh warga kampus UTHM malah turut dihadiri oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading dan SMK Tun Ismail serta guru dari sekolah-sekolah sekitar Batu Pahat.


