BATU PAHAT, 17 April 2025 – Dalam kemeriahan menyambut Syawal, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan tiga inisiatif istimewa iaitu Projek Baju Raya, Bantuan Banjir dan Majlis Sentuhan Kasih Aidilfitri 2025 sebagai tanda prihatin membantu pelajar yang memerlukan.

Bagi tujuan tersebut, Kelab Teknologi Maklumat (ITC) telah membeli busana Aidilfitri dari dua butik terkenal di daerah Batu Pahat untuk 14 pelajar terpilih.

Sementara itu, lima pelajar yang terkesan akibat banjir besar yang melanda Johor hujung Mac lalu turut disantuni melalui inisiatif Bantuan Banjir.

Para pelajar tersebut menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM200 setiap seorang, yang bertujuan meringankan beban mereka bagi membeli barangan keperluan asas seperti makanan, kelengkapan harian dan ubat-ubatan.

Kesemua usaha itu digabungkan dan dirai dalam Majlis Sentuhan Kasih Aidilfitri 2025 yang berlangsung pada 17 April 2025 lalu di FSKTM.

Majlis yang disempurnakan oleh Dekan FSKTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Farhan Md Fudzee itu diisi dengan sesi penyerahan simbolik dan jamuan ringan bagi menambahkan lagi kemesraan serta ukhuwah dalam kalangan warga fakulti.

Gabungan ketiga-tiga inisiatif itu adalah sebagai usaha tulus untuk menyantuni para pelajar yang terkesan, selain sebagai lambang keprihatinan, perpaduan dan kasih sayang yang terjalin antara warga FSKTM.