Oleh Ts. Dr. Sabariah Musa, Suriayati Baharom
BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencipta satu lagi sejarah apabila berjaya menerima pengiktirafan antarabangsa sebagai tapak UNESCO Ecohydrology Demonstration Sites melalui pensijilan daripada The UNESCO Intergovernmental Hydrological Programme (UNESCO-IHP).
Projek pengurusan air ribut mampan atau Sustainable Stormwater Management, UTHM itu telah diterima sebagai sebahagian daripada Rangkaian Global Tapak Demonstrasi Ekohidrologi, yang mana pensijilannya telah diluluskan pada 1 Oktober 2024.
Tapak Demonstrasi Ekohidrologi berperanan untuk mempromosikan penyelesaian berasaskan alam semula jadi yang mengintegrasikan proses hidrologi dan ekologi bagi menangani cabaran berkaitan air, seperti meningkatkan sumber air, memperbaiki kualiti air dan mengurangkan kesan negatif terhadap ekosistem.
Pengiktirafan itu membuktikan kejayaan UTHM dalam mengaplikasikan prinsip ekohidrologi yang menekankan hubungan antara ekosistem dan sumber air.
Projek tersebut bertujuan mengurangkan risiko banjir, meningkatkan kualiti air dan memelihara biodiversiti di kawasan kampus.
Konsep Amalan Mesra Alam Malaysia (MSMA) telah diterapkan melalui kolam-kolam tadahan dan sistem saliran sedia ada bagi meningkatkan potensi ekosistem dan mencapai kelestarian alam sekitar yang berkaitan rapat dengan sumber air.
Selain itu, projek itu juga mengaplikasikan amalan pengurusan sumber air bersepadu atau Integrated Water Resources Management (IWRM) yang menggabungkan aspek teknikal dan ekologi bagi memastikan kelestarian jangka panjang.
Sistem pengurusan air ribut itu direka sebagai model semula jadi ekosistem dan mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Task Force UNESCO Ecohydrology Demonstration Sites UTHM-IHP, Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Adib Mohamad Razi, yang juga Ketua Pusat Eco-Penyelidikan Eco-Hytech, UTHM dijadikan sebagai model dalam mengintegrasikan sains ekohidrologi dengan pengurusan sumber air.
Beliau turut menzahirkan penghargaannya kepada pasukan UTHM, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Humid Tropics Centre Kuala Lumpur (HTCKL), Jawatankuasa Task Force EDS dan rakan seangkatan iaitu River Engineering and Urban Drainage Research Centre (REDAC), Universiti Sains Malaysia yang komited dalam memperkenalkan amalan mesra alam bagi pengurusan air mampan.
“Kejayaan ini bukan sahaja bermanfaat kepada komuniti setempat tetapi juga menyumbang kepada usaha global dalam pemeliharaan sumber air.
“Pensijilan ini juga membuka peluang besar bagi UTHM untuk bekerjasama dengan institusi tempatan dan antarabangsa dalam bidang penyelidikan ekohidrologi.
“Melalui rangkaian global ini, UTHM dapat berkongsi kepakaran dan mempelajari amalan terbaik daripada tapak demonstrasi lain di seluruh dunia,” katanya.
Dengan menjadi sebahagian daripada Rangkaian Global Tapak Demonstrasi Ekohidrologi, UTHM memainkan peranan penting dalam pengurusan sumber air yang lestari dan pemeliharaan ekosistem yang mesra alam.





Berita ini juga diterbitkan di:
1. Utusan (utusan.com.my), 27 Mac 2025: UTHM diiktiraf sebagai Tapak Demonstrasi Ekohidrologi UNESCO
UTHM diiktiraf sebagai Tapak Demonstrasi Ekohidrologi UNESCO
2. Harian Metro (muka surat: 35), 7 April 2025: LONJAK NAMA UTHM

3. MyMetro (hmetro.com.my), 7 April 2025: Lonjak nama UTHM
https://www.hmetro.com.my/akademia/2025/04/1204821/lonjak-nama-uthm
