Oleh Hawa Omar

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah disenaraikan sebagai salah satu penganjur expo Aidilfitri terbesar di Johor, khususnya di daerah Batu Pahat oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP).

BAZAR RAMADAN RAYA 2025 (BAZARAYA 2025) yang diadakan di Padang Kawad, kampus induk itu merupakan penganjuran buat kali kedua selepas kejayaannya menganjurkan BAZARAYA 2024 UTHM, di tapak komersial universiti.

Menurut mantan Timbalan Pengarah (Pembangunan Perniagaan), Bahagian Pembangunan Perniagaan (BizDev), Hawa Omar, pada tahun ini dijangkakan seramai lebih 300,000 pengunjung akan berkunjung ke BAZARAYA 2025 UTHM sehingga akhir Ramadan ini.

Selain bertujuan menjana pendapatan universiti, Expo Aidilfitri terbesar di Batu Pahat itu dianjurkan bagi memberi ruang kepada masyarakat setempat termasuk staf dan pelajar UTHM berbelanja untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri 2025M/1446H.

Tambah beliau, objektif utama penganjuran BAZARAYA 2025 UTHM ialah bagi menjana pendapatan universiti dengan pulangan melalui hasil sewaan ruang komersial, memberi ruang kepada peniaga industri kecil dan sederhana mencari pendapatan tambahan di bulan Ramadan, memberi peluang kepada para pelajar untuk berniaga dan menjana pendapatan melalui ruang aktiviti keusahawanan yang disediakan, meningkatkan keterlihatan UTHM sebagai penyedia tapak Ekspo Aidilfitri terbesar di Batu Pahat dan Johor, serta menjadi platform tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.

BAZARAYA 2025 yang diselia oleh Bahagian Pembangunan Perniagaan (BizDev), Pejabat Kelestarian Kewangan (PKKew) dengan kerjasama syarikat kolaborator Murni Sahabat Sdn. Bhd UTHM itu turut menyediakan 120 khemah jualan bagi lot niaga barangan kering dan basah.

Beberapa lot telah diperuntukkan kepada Syarikat Pemula Pelajar (SPP) dan kelab/persatuan pelajar, yang diselaraskan oleh Timbalan Pengarah Pusat Teknousahwan Universiti (PTU), Dr. Mohd Akmal Rohiat.

Pelbagai jualan barangan yang berupa pakaian, perkakasan rumah dan jualan makanan dan minuman boleh didapati di BAZARAYA 2025 UTHM.

“Menariknya, selain berbelanja untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri, pengunjung dan pembeli berpeluang merebut dan memenangi hadiah utama cabutan bertuah yang berupa pakej umrah, Kereta jenis Perodua Bezza dan Motosikal SM 110.

“Kami juga menyediakan fasiliti parkir kenderaan dan tandas secara percuma, laluan pejalan kaki di antara khemah jualan yang luas dan selesa, harga barangan yang mampu milik, tempat permainan kanak-kanak serta 300 lampu pelita untuk membangkitkan suasana kemeriahan Aidilfitri,” tambah Hawa.

Sementara itu, pihak universiti turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh MPBP dan juga Pusat-pusat Tanggungjawab (PTj) di UTHM yang terlibat secara langsung iaitu Pejabat Pembangunan dan Penyenggaraan; Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan; Pejabat Polis Bantuan dan Keselamatan; Pejabat Pengurusan Fasiliti; Pusat Kesihatan Universiti; Pusat Teknousahawan Universiti; Pusat Islam; Pejabat Penasihat Undang-undang dan Pejabat Bendahari UTHM.