Oleh Ts. Dr. Kamarul Aini Mohd. Sari, Ts. Dr. Mohd Arif Rosli, Suriayati Baharom
PAGOH – Bagi menarik minat pelajar sekolah terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan beberapa program melibatkan penyertaan pelajar sekolah pada tahun lalu.
Menurut Ketua Geran NGO, Prof. Ir. Dr. Chan Chee Ming merangkap penasihat program, UTHM sebelum ini telah melaksanakan empat program iaitu Program STEM Booster & SULAM di SMK Sri Perhentian pada 11 November 2024, Podcast Siri 1, Podcast Siri 2 dan pembangunan Modul STEM Teknologi Awam melalui tiga program dari Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam (JTKA).
“Program STEM ini adalah kolaborasi antara YB ADUN Pulai Sebatang bersama Fakluti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan ( FPTP) dan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) bermula pada tahun 2024 lalu bagi memberi pendedahan kepada pelajar sekolah khususnya berkaitan bidang sains dan teknologi,” katanya.
Rentetan itu, UTHM telah menganjurkan Majlis Penutup Program STEM dan Open Day@FTK pada 7 Januari 2025 lalu bertempat di Pusat Konvensyen, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh.
Majlis itu telah disempurnakan oleh YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.
Hadir sama, Hajah Hasrunizah Hassan, ADUN Pulai Sebatang; Rosli Mohd Amin, wakil rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Johor; Prof. Madya Dr. Afandi Ahmad, Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh; Prof. Madya Dr. Jumadi Abdul Sukor, Dekan FTK dan Ketua Jabatan JTKA, Ir. Ts. Dr. Mohd Kamaruzaman Musa.
Sementara itu, Open Day @ FTK pula dimeriahkan dengan kehadiran 157 pelajar dari empat sekolah rendah sekitar Panchor dan dua sekolah menengah termasuk SMK Seri Perhentian, Pontian dan SMKA Hj. Mohd Yassin, Muar.
Pelbagai acara telah dilaksanakan antaranya pelancaran draf buku STEM yang bakal diterbitkan, pameran dari SWM Environment dan East Marine Works, lawatan ke empat makmal JTKA, pembentangan projek Renewable Energy Applications dan Building Structure Demolition, jualan produk dan makanan dan sesi penyampaian hadiah aktiviti STEM.




