BATU PAHAT – Program Derma Darah ‘Setitik Darah, Sejuta Harapan’ yang bertemakan Step Up and Save Lives! anjuran Kelab Teknologi Maklumat (ITC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diadakan pada 9 Januari 2025 lalu mendapat sambutan hangat daripada warga kampus.
Program dengan kerjasama Persatuan Kasih Prihatin Malaysia (PEKASIH), Hospital KPJ Kluang, dan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) itu diadakan bertujuan membantu sektor perubatan menangani masalah kekurangan darah di tabung darah hospital.
Selain itu, penganjurannya juga bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menderma darah sebagai langkah menyelamatkan nyawa, sekali gus sebagai usaha memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan pelajar UTHM.
Pengarah Program, Shaamalan A/L Kanthan turut melahirkan rasa terima kasih atas sokongan daripada pelbagai pihak.
“Kempen ini bukan sahaja membantu memenuhi keperluan bekalan darah, tetapi juga berjaya memupuk kesedaran mengenai tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat kampus dan komuniti setempat,” katanya.
Turut diadakan, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma yang disediakan oleh pasukan perubatan dari HEBHK.
Perkhidmatan itu memberi peluang kepada peserta untuk mengetahui status kesihatan mereka.
”Proses menderma darah berjalan lancar dalam suasana yang kondusif dengan bantuan pasukan perubatan yang komited memastikan keselesaan para penderma sepanjang program berlangsung.
”Pek makanan ringan turut disediakan untuk penderma bagi memastikan mereka kekal bertenaga selepas menderma darah,” jelas Shaamalan.
Untuk rekod, pada tahun 2024, ITC UTHM telah menganjurkan dua program derma darah dengan kerjasama organisasi seperti HEBHK, KPJ Kluang Specialist Hospital dan PEKASIH.
Program seumpama itu menjadi platform penting untuk menggalakkan pelajar melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawan dan menyumbang kepada masyarakat.



