BATU PAHAT, 30 Disember 2024 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi pembuka akaun yang pertama dalam kalangan universiti awam (UA) bahagian selatan pada 14 Disember lalu setelah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi kebenaran kepada mereka untuk menguruskan akaun kewangan sendiri.

Rentetan itu, UTHM telah mengadakan Majlis Simbolik Penyerahan Akaun RHB Bank kepada MPP Sesi 2024 pada 30 Disember 2024 lalu bertempat di Pejabat Hal Ehwal Pelajar, kampus induk.

Pembukaan akaun tersebut merupakan langkah signifikan yang selari dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU 2023), yang memberi kuasa kepada MPP untuk menguruskan kewangan mereka sendiri terutama bagi dana yang diterima daripada pihak luar universiti.

UTHM menyokong agenda pemerkasaan mahasiswa yang telah digerakkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang bertujuan meningkatkan kemahiran pengurusan organisasi secara keseluruhan, sekali gus meningkatkan integriti mereka dalam melaksanakan tugas yang telah dipertanggungjawabkan.

Majlis ringkas tersebut dihadiri oleh Dr. Ikram Syah Mokhtar selaku wakil rasmi Timbalan Naib Canselor (Hal ehwal Pelajar dan Alumni), manakala pihak RHB Bank Batu Pahat pula dihadiri oleh pengurusnya, Vanmalar A/P Narayanasamy.

Dr. Ikram Syah dalam ucapannya mengingatkan MPP agar dapat memikul amanah KPT ini dengan telus agar seluruh mahasiswa UTHM dapat menerima manfaatnya.

Manakala Vanmalar dalam ucapannya pula berkata pihak RHB sentiasa terbuka dalam memberi kerjasama yang berterusan bagi memastikan akaun bank itu dapat diuruskan dengan baik.

Pada masa yang sama, Yang Dipertua MPP, Abdullah Abduraman turut berjanji akan menggalas tugas tersebut dengan penuh amanah dan bertanggungjawab, selain akan memimpin semua persatuan dan kelab pelajar dengan baik bagi melaksanakan pelbagai program dan inisitaif yang memberi impak positif kepada mahasiswa.

Untuk rekod, pembukaan akaun bank untuk MPP di Universiti Awam itu adalah antara langkah untuk melahirkan generasi pemimpin mahasiswa yang bertanggungjawab, berdaya saing dan berwawasan.