Oleh Profesor Madya Dr. Munzilah Md. Rohani
BATU PAHAT – Bagi meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya kepada pelajar dan juga masyarakat, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program bersiri ‘KidSafe UTHM 2024’ sepanjang tahun lalu.
Program dengan kerjasama Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat UTHM, Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), MyLawang Group Sdn. Bhd. dan Persatuan Sains Pengangkutan Malaysia (TSSM) itu telah berlangsung sepanjang tahun 2024 bermula Januari sehinggalah Disember.
Sepanjang program tersebut berlangsung, 14 sekolah di Johor telah terlibat dengan penyertaan hampir 2700 pelajar sekolah.
Program itu diadakan bertujuan untuk menyampaikan mesej penting tentang keselamatan diri kepada murid sekolah dan guru ketika berada di dalam kenderaan dan di jalan raya.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk membentuk sikap bertanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya, terutamanya remaja dengan menekankan kepentingan mematuhi papan tanda lalu lintas dan peraturan lalu lintas, serta kepentingan pengangkutan awam untuk mengurangkan risiko kemalangan.
Program itu juga mempamerkan komitmen UTHM terhadap masyarakat setempat melalui pendidikan keselamatan jalan raya.
Pelaksanaan program tersebut turut dibantu oleh fasilitator terdiri daripada pelajar prasiswazah dan pascasiswazah UTHM terutamanya dari FKAAB, alumni dan kakitangan UTHM serta kakitangan dari Universiti Teknologi Malaysia.
Penyelaras program, Profesor Madya Dr. Munzilah Md. Rohani berkata dengan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak, Program KidSafe UTHM 2024 diharap dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar dan masyarakat setempat.
Tambah beliau, program itu juga merangkumi pelbagai aktiviti interaktif seperti bengkel keselamatan jalan raya, simulasi kemalangan dan ceramah oleh pakar keselamatan.
“Aktiviti-aktiviti ini direka untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang praktikal dan menarik kepada para peserta.
“Selain itu, program ini juga melibatkan pertandingan poster dan esei mengenai keselamatan jalan raya untuk menggalakkan pelajar berkongsi pengetahuan dan idea mereka tentang topik ini,” katanya.
Dengan pelaksanaan Program KidSafe UTHM 2024, FKAAB juga berharap dapat membentuk generasi muda yang lebih bertanggungjawab dan berpengetahuan tentang keselamatan jalan raya, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dalam kalangan pelajar sekolah.

