
BATU PAHAT – Bagi meningkatkan kemahiran keusahawanan pelajar dan merapatkan hubungan universiti-komuniti, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Kelab Pengurusan Teknologi telah berganding bahu dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk Kampung Panchor, Batu Pahat bagi menjayakan Karnival 3M 1K (Memancing, Memasak, Mewarna dan Keusahawanan).
Program dengan kerjasama Kelab Pacak Puyu Challenge dan Alaf Sejahtera yang diadakan pada 13 Disember 2024 lalu itu juga bertujuan menyemai gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan pelajar dan masyarakat.
Penganjuran program di bawah bimbingan Prof. Madya Dr. Fadillah Ismail itu juga diadakan bagi memberi peluang kepada pelajar untuk mengasah kemahiran kepimpinan dan pengurusan acara, sekali gus menjadikan pengalaman tersebut sebagai satu nilai tambah kepada mereka.
Beberapa aktiviti telah diadakan seperti pertandingan memancing, memasak dan mewarna yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi turut menonjolkan bakat, kreativiti serta daya saing para peserta terlibat.
Seramai 52 peserta telah menyertai pertandingan mewarna, manakala pertandingan memasak pula disertai oleh 12 peserta dan pertandingan memancing disertai oleh 40 peserta.
Ketiga-tiga pertandingan itu telah diadili oleh enam juri profesional.
Menurut Dekan FPTP, Profesor Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri, Karnival 3M 1K bukan sahaja dapat mencetuskan keceriaan tetapi juga membuka ruang untuk memperkukuhkan nilai komuniti dan pembangunan masyarakat yang lebih lestari.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa kolaborasi antara universiti, NGO dan masyarakat setempat dapat mengeratkan lagi hubungan, memperkukuh perpaduan dan meningkatkan kesejahteraan sosial.
“Selain itu, program sebegini mampu memperkasakan agenda keusahawanan pelajar, selain menyokong pembangunan sosioekonomi komuniti setempat.melalui kerjasama erat,” katanya.
Penganjuran program sebegitu juga seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), SDG 8 (Pekerjaan Yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi) dan SDG 11 (Komuniti dan Bandar Yang Lestari).
Dengan menyediakan platform yang inklusif untuk pembangunan kemahiran, karnival itu menjadi contoh terbaik bagaimana kerjasama strategik dapat memberikan impak positif yang berpanjangan.