Oleh Mohd Hasril Amiruddin

TIANJIN, 26 Nov 2024 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengambil bahagian dalam World Vocational and Technical Education Development Conference (WVTEDC) 2024 yang diadakan di Tianjin, China anjuran Tianjin University of Technology and Education.

Penyertaan yang diketuai oleh Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim turut disertai Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Ts. Dr. Mohd Hasil Amirudin bersama dua staf.

Inisiatif seumpama itu bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan antarabangsa dan mempromosikan pendidikan teknikal dan vokasional di peringkat global.

Persidangan itu merupakan platform penting bagi negara-negara di seluruh dunia untuk bertukar pandangan, idea dan amalan terbaik dalam bidang TVET.

Beberapa aktiviti utama yang disertai oleh delegasi UTHM termasuk Persidangan Pertama dalam World TVET League, Thematic Exhibition on Vocational Education, Seminar/Parallel Sessions, serta World Vocational College Skills Competition Championship.

World TVET League adalah acara yang bertujuan untuk mempromosikan kecemerlangan dalam pendidikan vokasional dan teknikal, yang mana institusi pendidikan di seluruh dunia bersaing dan berkongsi pengalaman serta pencapaian dalam memajukan kemahiran profesional.

UTHM melalui penglibatannya, menunjukkan komitmen universiti dalam menyokong perkembangan pendidikan vokasional yang relevan dan berdaya saing.

Dalam Thematic Exhibition on Vocational Education at WVTEDC 2024, delegasi UTHM turut mengambil peluang untuk menimba pengalaman melalui pameran yang memfokuskan kepada inovasi dan perkembangan isu terkini dalam pendidikan vokasional dan teknikal.

Pameran ini menyediakan peluang untuk peserta berkongsi idea dan teknologi terkini yang boleh meningkatkan keberkesanan sistem pendidikan vokasional global bersama industri.

Manakala melalui Seminar ”Practical Innovation of Vocational Education Teachers’ Professional Development” pula memberi fokus kepada pembangunan profesional pendidik vokasional.

Seminar tersebut menyediakan platform untuk para pendidik dari pelbagai negara untuk berkongsi pendekatan inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran vokasional.

UTHM sebagai penyumbang dalam sektor pendidikan vokasional, turut terlibat dalam seminar tersebut dengan mengemukakan cadangan-cadangan bagi meningkatkan kualiti pendidikan vokasional di peringkat global.

Delegasi UTHM turut menyertai sesi perbincangan ini, memberikan input penting mengenai pengalaman Malaysia dalam menyediakan pendidikan vokasional yang berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa.

Selain itu, 2024 World Vocational College Skills Competition Championship juga menjadi acara utama dalam persidangan itu, yang mana peserta dari seluruh dunia bertanding dalam pelbagai kategori kemahiran vokasional.

UTHM menyaksikan pertandingan itu sebagai satu peluang untuk memahami trend dan keperluan terkini dalam bidang kemahiran serta untuk mengasah lagi kemahiran pelajarnya dalam bidang teknikal dan vokasional.

Penglibatan UTHM dalam persidangan itu adalah satu langkah strategik dalam memperkukuhkan kedudukan universiti sebagai peneraju dalam bidang pendidikan vokasional di Malaysia.

Penyertaan itu juga membuka peluang bagi UTHM untuk memperluaskan rangkaian kerjasama antarabangsa dan mempelajari amalan terbaik yang boleh diadaptasi dalam sistem pendidikan vokasional di Malaysia.

Penglibatan UTHM dalam World Vocational and Technical Education Development Conference 2024 membuktikan komitmen universiti dalam memajukan pendidikan vokasional dan teknikal di peringkat global, serta memperkukuhkan peranan Malaysia dalam pembentukan sistem pendidikan yang lebih inklusif dan mampan.