MUAR – Bagi memberi peluang merasai pengalaman hidup di kampung, 28 pelajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai Program Operasi Khidmat Masyarakat (OPTIMA) yang berlangsung pada 12 hingga 14 Disember 2024 lalu.

Program yang berkonsepkan keluarga angkat anjuran Kelab Teknologi Kejuruteraan (ETeC) Sesi 2024/2025 dengan kerjasama Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Lenga dan Majlis Belia Daerah Muar itu diadakan di Kampung Felda Batu 27 Lenga.

Menurut penasihat program, Ts. Dr. Izuan Amin Ishak yang juga merupakan Pensyarah Kanan FTK, para peserta ditempatkan bersama lapan keluarga angkat untuk tempoh tiga hari dua malam.

Sepanjang tempoh tersebut, para pelajar FTK bersama keluarga angkat mereka terlibat dalam pelbagai aktiviti bermanfaat seperti gotong-royong penanaman pokok bunga dan nenas MD24, eksplorasi ladang kelapa sawit, sukaneka bersama komuniti dan malam kebudayaan.

“Paling menarik, mereka berpeluang mengikuti eksplorasi ladang kelapa sawit yang diadakan bersama Ketua Peneroka Felda Lenga, Rahman Hassan.

“Aktiviti ini memberi berpeluang kepada pelajar mempelajari proses penuaian biji kelapa sawit dan berkongsi cadangan potensi kajian berkenaan industri kelapa sawit yang boleh diterokai untuk Projek Sarjana Muda (PSM) mereka,” katanya.

Tambah Dr. Izuan, para peserta turut diberi peluang memberi sumbangan idea berkaitan perancangan program atau projek yang boleh dilaksanakan pada masa akan datang bagi memberi manfaat kepada komuniti Felda Lenga.

“Semua cadangan tersebut telah diserahkan kepada Ketua Peneroka dan wakil Pengurus Felda Lenga untuk dijadikan rujukan dan pertimbangan bagi masa depan komuniti tersebut,” katanya.

Pelaksanaan seumpama itu bukan sahaja dapat mengeratkan lagi hubungan antara pelajar dan komuniti, tetapi juga sebagai platform untuk pelajar-pelajar memberi sumbangan idea dan tenaga kepada masyarakat luar bandar.

Inisiatif seumpama itu menunjukkan komitmen UTHM dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan memberi impak positif kepada masyarakat.

Terlaksananya program itu juga hasil sokongan daripada pelbagai pihak termasuklah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Masjid Al-Falah Felda Lenga, Koperasi Felda Lenga Muar Berhad serta Majlis Belia Felda Lenga.