Oleh Dr. Mohd Hairul Khamidun, PM Ts. Dr. Ahmad Mubarak Tajul Arifin
BATU PAHAT – Bagi memberi peluang kepada warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memiliki kelayakan profesional dalam bidang kejurulatihan olahraga, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) telah menganjurkan Kursus Kejurulatihan World Athletics (WA) Level 1 pada 1 hingga 25 Disember 2024 lalu di kampus induk.
Kursus dengan kerjasama Persatuan Olahraga Johor (POJ) itu telah diadakan secara hibrid, iaitu secara dalam talian bermula pada 1 hingga 20 Disember dan sesi secara bersemuka pada 21 hingga 25 Disember 2024.
Kursus yang dikendalikan oleh Pengajar WA, Abang Sapani Abang Sarbini itu telah disertai oleh 27 peserta dalam kalangan staf dan pelajar UTHM.
Kursus kompetensi itu juga merupakan pelengkap kepada beberapa inisiatif yang terkandung dalam Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara UTHM dengan POJ sebelum ini.
Para peserta telah didedahkan dengan asas kejurulatihan olahraga seperti teknik larian, lontaran, lompatan dan juga elemen kecergasan fizikal.
Mereka dilatih untuk memahami biomekanik asas dalam membentuk asas pengukuhan bagi perkembangan atlet dan diakhiri dengan ujian penilaian secara praktikal dan bertulis bagi melayakkan memperoleh Sijil Kejurulatihan World Athletics (WA) Level 1.
Sijil Kejurulatihan World Athletics (WA) Level 1 itu diiktiraf di seluruh dunia sekali gus memberi pengesahan rasmi peserta telah lulus dalam penilaian yang telah dibuat dan memenuhi piawaian yang telah ditetapkan di peringkat global.
Ia dapat memberi peluang sebagai salah satu kerjaya sama ada di peringkat tempatan mahupun arena antarabangsa.
Kursus tersebut juga menyaksikan peserta Nor ‘Aisyah Thalatha diumumkan sebagai Peserta Terbaik (Praktikal), Hanim Mohamed sebagai Peserta Terbaik (Penulisan) dan Scanly Wong Tze Hau sebagai Peserta Terbaik (Keseluruhan).
Pencapaian cemerlang Scanly Wong Tze Hau, pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik yang juga atlet UTHM turut membuktikan universiti ini mempunyai atlet olahraga yang berbakat dalam bidang kejurulatihan.
Sementara itu, Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Naib Presiden Persatuan Olahraga Johor (POJ), Onn Mohd Yassin.
Hadir sama, Timbalan Dekan Kokurikulum PPUK, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Norashidah Abdul Rahman.
Beliau dalam ucapannya turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta atas kerjasama yang telah diberikan serta komitmen dan disiplin yang cemerlang sepanjang kursus berlangsung.
Beliau turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada POJ kerana memberi peluang kepada UTHM untuk melaksanakan kursus kejurulatihan bertaraf dunia itu.
Manakala Naib Presiden POJ dalam ucapannya pula berharap semua peserta dapat menjadi jurulatih yang berkualiti dan berkesan, yang mampu mencungkil serta membimbing bakat muda agar Johor memiliki pelapis dalam bidang olahraga pada masa depan.
“Terima kasih kepada UTHM sebagai rakan kerjasama yang turut membantu ke arah pembangunan sukan olahraga negara,” katanya.
Kursus itu juga dapat membentuk laluan kelayakan profesional kejurulatihan olahraga yang lebih tinggi seperti World Athletics Level 2 dan 3, selain mampu memperkukuhkan jalinan kerjasama antara UTHM dan POJ.
Penganjuran kursus itu bersesuaian dengan hasrat universiti dalam membangunkan modal insan yang berkemahiran tinggi dan profesional dalam pelbagai bidang seterusnya dapat meningkatkan imej dan keupayaan warga UTHM di peringkat global.



