Oleh Prof. Madya Ts. Dr. Elmy Johana Mohamad

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuhkan komitmennya terhadap pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat melalui pelaksanaan lebih 350 program Bersama komuniti pada tahun 2022 sehingga 2024.

Dengan visi menjadikan daerah Batu Pahat sebagai model Masyarakat 5.0 dan menyokong Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2030, UTHM akan terus bekerjasama erat dengan Pejabat Daerah Batu Pahat bagi memastikan matlamat pembangunan inklusif tercapai.

Menurut Pegawai Daerah (DO) Batu Pahat, Haji Zainor Adani, kerjasama strategik antara UTHM dan Pejabat Daerah amat diperlukan bagi memperkukuhkan lagi hubungan institusi-komuniti.

Melalui kerjasama yang terjalin, UTHM akan melibatkan komitmen pemimpin-pemimpin masyarakat dalam pelaksanaan program berbentuk khidmat komuniti serta perkongsian ilmu sejajar dengan konsep ‘Jemput Sejati Madani.’

“Pendekatan ini diharap dapat membina hubungan lebih erat antara universiti dan komuniti setempat,” katanya.

Sebagai contoh, Pusat Islam dan Yayasan UTHM telah melaksanakan beberapa program prihatin komuniti dengan memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi membantu pelbagai isu sosial masyarakat setempat, termasuklah bantuan kewangan, pendidikan dan pemerkasaan golongan rentan.

UTHM terus melangkah ke hadapan dengan melaksanakan ‘Model Penta Helix’ yang mengintegrasikan kerjasama antara kerajaan, industri, akademia, komuniti dan media.

Beberapa program berimpak tinggi dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2025 antaranya program Halal Central Kitchen untuk B40: Penyediaan makanan halal berkualiti untuk komuniti memerlukan, Transformasi Ekonomi Digital Wanita: Pemerkasaan wanita melalui teknologi dan keusahawanan digital serta Projek Hijau Living Lab: Penggunaan teknologi TVET, IoT, dan pendekatan lestari untuk inovasi hijau.

UTHM juga memanfaatkan platform pendidikan untuk menyokong pembangunan komuniti antaranya penganjuran program SULUNG yang menawarkan biasiswa kepada pelajar tempatan yang layak, TVET UNITY dan TVET TAHFIZ bagi memperkasakan pelajar dengan gabungan nilai agama dan teknologi, serta pelantikan sekolah dan kampung angkat bagi memacu pembangunan pendidikan dan infrastruktur komuniti setempat.

Manakala bagi meningkatkan lagi pencapaian program, UTHM bekerjasama dengan media tempatan dan platform digital melalui kempen kesedaran, liputan berita dan inisiatif crowdfunding, sekali gus menjana dana tambahan untuk memperluaskan impak sosial.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim pula berkata inisiatif kolaborasi strategik bersama Pejabat Daerah Batu Pahat dan pelbagai pihak berkepentingan itu diharap dapat memperkukuhkan peranan UTHM sebagai peneraju inovasi sosial dan pembangunan komuniti.

“Gabungan usaha itu menyokong aspirasi Masyarakat 5.0 dengan memastikan pembangunan yang lestari, inklusif dan progresif untuk masyarakat Johor.

“Kerjasama erat dengan Pejabat Daerah dan pemimpin setempat melalui pendekatan ‘Jemput Sejati Madani’ berupaya memperkukuhkan misi kami untuk membina masyarakat yang berkualiti dan sejahtera,” katanya.