Oleh Ts. Dr. Nizamuddin Razali

BATU PAHAT, 18 Disember 2024 – Bagi mencungkil bakat, kemahiran dan kreativiti pelajar, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan pertandingan FPTV Skills Challenge 2024 yang berlangsung selama tiga hari.

Pertandingan yang disertai oleh 76 peserta itu menyaksikan mereka bersaing dalam tujuh bidang iaitu Bricklaying, Electrical Control System, Machining Assembly, Graphic Design Technology, HVAC Design, Food Preparation and Production, serta Welding Technology.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq dalam ucapannya menegaskan bahawa acara sebegitu bukan sekadar pertandingan kemahiran, tetapi juga platform penting untuk menguji kecemerlangan serta ketahanan mental pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional.

“Program sebegini mencerminkan komitmen UTHM dalam membangunkan pendidikan teknikal dan vokasional berkualiti tinggi serta memastikan pelajar bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan,” katanya.

Pertandingan itu menyaksikan Farid Asraaf Zainudin, peserta dari bidang Electrical Control System telah memenangi Anugerah Tangan Emas FPTVSC 2024 kerana pencapaian cemerlangnya yang berjaya menarik perhatian para juri.

FPTV Skills Challenge 2024 edisi pertama yang diadakan ini membuktikan keberkesanan ekosistem pendidikan TVET di UTHM dalam melahirkan generasi muda yang berkemahiran tinggi, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

Jawatankuasa program yakin bahawa FPTV Skills Challenge akan terus menjadi platform unggul dalam membentuk pakar teknikal dan vokasional di universiti ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan FPTV dan UTHM sebagai peneraju utama dalam pendidikan TVET di Malaysia.