BATU PAHAT, 19 Disember 2024 – Bagi menyemarakkan lagi aktiviti kolaborasi akademik, penyelidikan dan pembangunan ilmu, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) melalui Jabatan Pengurusan Harta Tanah (JPHT) telah menerima kunjungan rasmi Profesor Pelawat, Profesor Dr. Ali Parsa daripada University of Westminster, United Kingdom pada 16 hingga 18 Disember 2024.
Profesor Dr. Ali Parsa, seorang tokoh terkemuka dalam bidang harta tanah mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam dunia akademik dan penyelidikan.
Beliau berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Perancangan dan Pembinaan Antarabangsa dari Universiti Newcastle (UK) dan merupakan Felo Institusi Diraja Juruukur Bertauliah (RICS) serta Felo RSA (The Royal Society for Arts, Manufactures and Commerce).
Prof. Ali sebelum ini banyak terlibat dalam penyelidikan berkaitan bandar global, analisis pasaran perumahan, pelaburan dan pembangunan harta tanah patuh syariah.
Sumbangan signifikan beliau meliputi pembangunan kursus-kursus akademik, penawaran program-program PhD, selain mendalami isu-isu global seperti kemampanan, perancangan bandar dan pembangunan harta tanah.
Lawatan rasmi tersebut dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti bersama pengurusan fakulti, staf akademik dan pelajar.
Antaranya, sesi perbincangan bersama ahli Jabatan Pengurusan Harta Tanah yang bertujuan untuk memahami isu-isu semasa dalam sektor harta tanah.
Sesi itu juga memberi fokus kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P), serta potensi kerjasama penyelidikan antara pihak universiti, industri dan institusi luar negara.
Profesor Dr. Ali Parsa turut menyampaikan dua sesi ceramah kepada para pelajar Program Pengurusan Harta Tanah iaitu Visiting Professor Talk 1 dan Visiting Professor Talk 2.
Pada sesi Visiting Professor Talk 1, beliau membincangkan mengenai isu-isu harta tanah semasa serta memberikan panduan tentang peluang kerjaya dalam bidang harta tanah bagi membantu pelajar memahami cabaran, potensi dan hala tuju bidang harta tanah.
Sementara dalam sesi Visiting Professor Talk 2, beliau bertemu dengan pelajar pascasiswazah dan pelajar tahun akhir bagi membincangkan potensi penyelidikan dalam sektor harta tanah antarabangsa.
Beliau mengetengahkan peluang yang terdapat di peringkat global, termasuklah penyelidikan berfokuskan pasaran baharu, perancangan bandar dan pelaburan patuh syariah.
Selain itu, Prof. Ali turut berkongsi pandangan dan kepakaran beliau bersama Institut Harta Tanah Malaysia (MyREI), Centre of Project, Property & Facilities Management Services (PRoFMs), KANZU Research, dan Spatial Economic (SPECs).
Perbincangan tersebut turut memberi tumpuan kepada potensi kolaborasi penyelidikan dan perkongsian ilmu, termasuk kajian berkaitan strategi harta tanah, pembangunan bandar mampan dan pengurusan tanah di kawasan bandar.
Kunjungan seumpama itu mencerminkan usaha UTHM yang berterusan untuk memperkukuh hubungan dengan institusi akademik antarabangsa dan tokoh terkemuka seperti Profesor Dr. Ali Parsa.