Oleh Ts. Dr. Kamarul Aini Mohd Sari

Alumni Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), A. Darshinii A/P A. Sivasanmugam telah menerima anugerah ‘Pelajar Terbaik 2024’ bagi kategori Teknologi Kejuruteraan (Perkhidmatan Bangunan) daripada Chartered Institute of Building (CIOB) Malaysia.

Anugerah tersebut yang diterima pada 24 Oktober lalu bersempena penganjuran 10th CIDB, CIOB Youth Arena Convention Malaysia 2024 yang berlangsung di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

Alumni program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Perkhidmatan Bangunan) itu merupakan seorang pelajar yang bijak, aktif dalam aktiviti kokurikulum dan kemasyarakatan serta mempunyai sahsiah diri yang baik.

Pengiktirafan tersebut berdasarkan markah tertinggi dalam kursus ijazah yang beliau ikuti.

Pelajar di bawah Penasihat Akademik dan Kerjaya (PAK), Ts. Dr. Kamarul Aini Mohd Sari dari Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam, FTK itu telah menamatkan latihan industri pada Ogos lalu dan beliau kini bekerja sebagai Jurutera Projek di Syarikat Sunway Construction, Ipoh, Perak.

Sementara itu, Dekan FTK, Prof. Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Sukor turut mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya atas usaha gigih Darshinii dalam memajukan diri demi mendapat tempat di alam kerjaya.

Beliau berharap kejayaan seumpama itu mampu menjadi inspirasi kepada semua pelajar UTHM.