KUALA LUMPUR, 24 Okt 2024 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) menjalinkan hubungan kerjasama dengan salah sebuah anak Syarikat CIDB Malaysia iaitu CIDB E-Construct Services Sdn. Bhd. bagi melaksanakan Program Latihan dan Pensijilan Kompetensi Pelajar/Graduan UTHM dalam bidang Building Information Modelling (BIM).
Kerjasama itu terjalin setelah kedua-dua pihak memeterai perjanjian dalam satu majlis pertukaran dokumen Memorandum of Agreement (MoA) yang telah diadakan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur bersempena penganjuran International Construction Week (ICW) 2024 oleh pihak CIDB Malaysia pada 22 hingga 24 Oktober 2024.
Untuk rekod, CIDB E-Construct Services Sdn. Bhd. (CIDBEC) merupakan sebuah anak syarikat milik penuh CIDB Malaysia yang telah ditubuhkan pada 21 Februari 2001.
CIDBEC merupakan pengawal selia terhadap myBIM Centre CIDB Malaysia yang berpusat di Menara Sunway, Kuala Lumpur.
Syarikat tersebut berperanan menyediakan laluan perkhidmatan perniagaan pendigitalan dalam industri pembinaan melalui pengimplementasian BIM, menjalankan perkhidmatan perundingan, latihan serta pentauliahan.
CIDBEC turut terlibat dalam pembangunan perisian dalam menyediakan penyelesaian ICT secara bersepadu bagi membantu komuniti pembinaan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi meningkatkan sumbangan dan daya saing industri pembinaan peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
UTHM telah diwakili oleh Dekan FKAAB, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Haziman Wan Ibrahim manakala pihak CIDBEC pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ts. Rofizlan Ahmad.
Turut hadir, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Dato’ Sr Mohd Zaid Zakaria dan Timbalan Pengarah (Jaringan Industri Dan Kerjasama Universiti), Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat, UTHM, Prof. Madya Dr. Abu Ubaidah Shamsudin.
Menurut Penyelaras MoA, Ir. Dr. Mohammad Soffi Md Noh hubungan kerjasama antara FKAAB dan CIDBEC telah terjalin sebelum ini melalui penawaran kursus pensijilan profesioanal BIM Infrastruktur (Jalan dan Lebuhraya) di bawah Dana Kebolehpasaran graduan 2022 dan Geran Penjana KPT PACE 2023
“Menerusi kerjasama itu seramai 150 pelajar tahun akhir dan graduan UTHM telah berjaya ditauliahkan dengan sijil kompetensi permodelan BIM.
“Sebagai kesinambungan terhadap penawaran program pensijilan kompetensi BIM ini, pihak FKAAB mengambil langkah yang lebih proaktif dengan mencadangkan hubungan kerjasama kedua-dua pihak terlibat dapat dieratkan lagi bagi memastikan kelangsungan program pensijilan BIM dan program seumpamanya pada masa akan datang,” katanya.
FKAAB berharap inisiatif seumpama itu akan menjadi platfom ke arah melatih pelajar/graduan UTHM untuk menjadi tenaga kerja yang berkemahiran dan bertauliah di dalam bidang BIM, sekali gus dapat memenuhi permintaan industri pembinaan negara yang selari dengan Dasar Pembinaan Negara 2030.