Oleh Khairul Asyraf Mohd Rodzi, Muhamad Adli Faezal Rosnan, Ivy Chung Ee Lin

PETALING JAYA – Sekumpulan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya memenangi Anugerah Emas ketika menyertai ‘FU-TRA Booth Competition’ bersempena penganjuran PAM Annual Architecture Student Works Exhibition 2024 (PAASWE 2024) yang berlangsung pada 2 hingga 6 Oktober lalu, bertempat di One Utama Shopping Centre, Petaling Jaya.

Menerusi tema ‘Timeless Blossom,’ wakil UTHM telah berjaya memenangi Anugerah Emas dengan markah penilaian sebanyak 85.6%.

Walaupun itu adalah penyertaan kedua, UTHM telah berjaya mempamerkan cabaran yang matang dan kompetitif selain menunjukkan potensi yang sangat baik menerusi karya yang kreatif dan inovatif.

Daripada 10 pertandingan yang dianjurkan sepanjang PAASWE kali ini, hanya lima pertandingan telah disertai oleh pelajar UTHM, iaitu FU-TRA Booth Competition, Sketching Competition, Pertandingan Mencanting Batik, Fesyen Bersayap dan Pertandingan Fotografi.

Program PAASWE 2024 anjuran Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan City University Malaysia itu telah disertai oleh wakil PAM, Lembaga Arkitek Malaysia (LAM), industri, ahli akademik serta pelajar program Sains Senibina daripada lebih 20  institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh Malaysia.

Pada tahun ini, UTHM telah diwakili oleh 10 pelajar Program Sarjana Muda Sains Senibina yang terdiri daripada pelajar tahun satu dan dua ditemani dua Pensyarah Jabatan Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) iaitu Muhamad Adli Faezal Rosnan dan Khairul Asyraf Mohd Rodzi.

Penganjuran PAASWE 2024 kali ini yang bertemakan “Futra Nostalgia: Future X Tradition” dilaksanakan bagi menyatupadukan nilai tradisi dan inovasi futuristik secara harmoni, sambil menghormati warisan namun tetap bersedia menerima kemajuan.

Program tahunan ini juga bertujuan bagi mengembangkan potensi dan kreativiti pelajar dalam bidang senibina menerusi kaedah yang santai, selain mencipta jaringan dan peluang kolaborasi antara setiap universiti dan IPT yang terlibat.

Program itu turut melibatkan kerjasama panel luar dan industri demi membantu dalam proses penilaian dan pencarian bakat pelajar senibina dari semua IPT yang bertanding.

Mereka yang terlibat antaranya Dato’ Ar. Azman Md Hashim, Presiden Lembaga Arkitek Malaysia (LAM); Dato’ Ar Zulkhairi Md Zain, Adjunct Prof. Ar. Adrianta Aziz, Presiden PAM, juga merupakan Profesor Adjung bagi Program Sarjana Muda Sains Senibina UTHM dan beberapa wakil penaja dari Nippon Paint Malaysia, Thung Hing Metal Industry Sdn. Bhd., Great Cosmo Industries Sdn. Bhd. dan Breezway(M) Sdn. Bhd.

Pada edisi akan datang, PAASWE 2025 bakal dianjurkan oleh Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) dengan tema yang lebih mencabar dan menarik.

Sesi penyampaian hadiah.
Bersama Profesor Adjung.
Mencanting batik.