Oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Norashidah Abd Rahman

Pasukan pelajar Kejuruteraan Awam dan Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya berada di kelompok lima pasukan terbaik daripada 29 kumpulan peserta yang bertanding dalam pertandingan Open Idea Competition for Students 2024 (OIC 2024) yang bermula sekitar September-Oktober 2024.

 Penganjuran program anjuran Persatuan Struktur Keluli Malaysia (MSSA) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB Merdeka Ventures) kali ini bertemakan “Suistainability in Steel Constuction Industry- Restoration & Evolution of Merdeka Stadium.

Pasukan pelajar FKAAB diketuai oleh Nur Aqilah Nadhirah Mohd Jais dan ahlinya Ain Najwa Osman, Nurin Nabilah Anuar dan Munifah Faqihah Anuar dari program Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina, manakala Muhammad Adam Nurman Mohd Nor dan Muhammad Irfan Hassan pula dari program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam.

Mereka dibantu oleh tiga penyelia iaitu Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Norashidah Abd Rahman, Ts. Dr. Noor Dina Md Amin dan Ar. Hazri Abd Aziz yang merupakan pensyarah dari Jabatan Kejuruteraan Awam dan Jabatan Seni bina, FKAAB.

Menurut Nur Aqilah, ini merupakan kali pertama pasukan UTHM menempatkan diri di kelompok lima pasukan terbaik  di peringkat akhir sekali gus membawa pulang hadiah sagu hati berupa wang tunai RM3 ribu.

“Melalui pertandingan ini kami dapat memahami bahawa kerjasama sepasukan antara jurutera dan arkitek sangat penting dalam menjayakan sesuatu projek.

“Kerjasama yang baik antara ahli sepasukan berpotensi memperkasakan lagi penerokaan idea reka bentuk agar ia dapat direalisasikan dalam projek pembinaan sebenar menerusi penggunaan bahan keluli sebagai struktur utama.

“Selain itu, pandangan dan teguran daripada panel industri sewaktu pembentangan banyak membantu saya dan rakan-rakan dalam memahami keperluan sebenar di industri pembinaan,” katanya.

Open Idea Competition (OIC) for Students adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh MSSA dengan kerjasama CIDB  bersempena dengan Minggu Pembinaan Antarabangsa 2024 (ICW2024) yang menawarkan hadiah tempat pertama berjumlah RM10,000.00.

Menariknya pertandingan kali ini juga turut melibatkan kerjasama PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. selaku pemilik Stadium Merdeka.

Pertandingan itu juga terbuka kepada pelajar di dalam bidang Kejuruteraan Awam dan Seni Bina dengan memberi peluang kepada mereka untuk bekerjasama dalam mereka bentuk bangunan dengan mengambil kira keluli sebagai struktur utama dan bahan kemasan.

Pertandingan tersebut juga hanya terbuka kepada semua universiti awam dan swasta yang mempunyai Memorandum Persefahaman (MoU) Bersama MSSA.