Oleh Ts. Dr. Roslinda Ali

PAGOH – Pertandingan Jelajah Sekolah Angkat Wira Lestari (JESAWIL) 2024 yang dikuasakan oleh KITARecycle, telah berjaya mengumpul sebanyak 68.2 tan barangan kitar semula dalam tempoh empat bulan program berlangsung bermula Mei hingga Ogos lalu.

Pertandingan anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) itu secara rasminya melabuhkan tirai pada 22 September 2024.

Rentetan itu, Karnival Wira Lestari 2024 telah diadakan di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh pada 21 dan 22 September 2024 bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kelestarian alam sekitar dan amalan kitar semula sebagai sebahagian daripada gaya hidup.

Menurut pengarah program, Ts. Dr. Roslinda Ali penganjuran Karnival Wira Lestari 2024 itu merupakan titik permulaan kesinambungan program JESAWIL yang pertama kali dianjurkan pada tahun 2023.

Tambah beliau, bagi tahun 2024 penyertaan JESAWIL melibatkan 42 sekolah rendah dan 20 sekolah menengah di sekitar negeri Johor, dengan mempertaruhkan lima kategori bagi merebut gelaran Ikon Wira Lestari 2024.

“Selain itu, satu kategori terbuka turut diperkenalkan bagi melihat sejauh mana kreativiti pelajar dalam menarik minat orang ramai untuk menjadikan amalan pengasingan sisa di punca dan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) sebagai sebahagian dari gaya hidup.

“Melalui pertandingan ini, peserta bukan sahaja diberi peluang untuk mengekspresikan kreativiti mereka dalam memanfaatkan sisa buangan, malah mereka juga diberi pendedahan dan kesedaran bahawa mereka boleh menjana pendapatan sampingan dari sisa buangan yang terkumpul,” katanya.

Menurut Eksekutif Kanan Pegawai Komunikasi Korporat SWM Environment, Muhamad Bakhtiar Azni, pertandingan JESAWIL pada tahun ini telah berjaya melepasi sasaran 60 tan barangan kitar semula melalui KITAREcyle.

“Secara tidak langsung, program ini memberi impak positif kepada alam sekitar dengan pengurangan jejak karbon sebanyak 109,859.48 setara karbon dioksida.

“Kejayaan penganjuran JESAWIL ini tidak akan tercapai tanpa komitmen dan sokongan padu daripada semua pihak termasuk guru, murid, ibu bapa dan komuniti setempat,” tambah beliau.

Selain majlis penutup JESAWIL, pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang karnival itu berlangsung, antaranya pertandingan inovasi GREEN Action for Environment (ENcEm), Wira Lestari Fun Run, Pameran Sudut Lestari serta sesi perkongsian ilmu oleh beberapa panel kelestarian yang berpengalaman.

Kesemua aktiviti itu bertujuan menarik minat masyarakat setempat dan pelajar khususnya untuk mengamalkan gaya hidup lestari dan teknologi hijau.

Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Karnival Wira Lestari 2024 telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Hadir sama, Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Prof. Madya Dr. Afandi Ahmad, Dekan FTK, Prof. Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Sukor, Pengurus Besar Komunikasi Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin, Pengarah Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN), Mohd Hanafi Samad, wakil rasmi dari Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Sekolah Kebangsaan Parit Jelutong, Batu Pahat telah dinobatkan sebagai Ikon Wira Lestari 2024.

FTK, UTHM dan SWM Environment turut merakamkan penghargaan dan terima kasih mereka kepada rakan-rakan strategik iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Majlis Perbandaran Muar (MPM), Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN), Sime Darby Property Pagoh dan pengeluar Air Mineral Desa, Syarikat Angenet Sdn. Bhd., yang turut sama menjayakan pertandingan itu.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Bernama (bernama.com), 24 September 2024: JESAWIL 2024 Kumpul 68.2 Metrik Tan Barangan Kitar Semula

BERNAMA – JESAWIL 2024 Kumpul 68.2 Metrik Tan Barangan Kitar Semula