PULAU PINANG – Seramai 42 peserta kursus terdiri daripada kumpulan profesional dari industri harta tanah telah mengikuti Kursus Penilaian Harta Tanah Khas (Specialised Property Valuation) anjuran Institut Harta Tanah Malaysia (MyREI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 21 hingga 22 Ogos 2024 lalu bertempat di Royale Chulan Penang, Pulau Pinang.

Kursus selama dua hari itu telah diiktiraf oleh Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (BOVEAP) bagi membolehkan peserta mengumpul mata kredit untuk pembangunan profesional berterusan (CPD) daripada lembaga tersebut.

Selain itu, kursus itu juga membolehkan majikan yang mencarum di bawah Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) untuk menyertainya dengan MyREI yang bertindak sebagai Penyedia Latihan.

Untuk kursus kali ini, lebih 50 peratus peserta kursus yang terdiri daripada jurunilai (awam dan swasta), pengurus harta, eksekutif, akauntan, ahli akademik dan pengurus pelabuhan telah memanfaatkan dana dari HRDF bagi membantu majikan melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja mereka sesuai dengan keperluan operasi dan perniagaan.

Objektif kursus itu ialah untuk memberi pendedahan kepada peserta memahami tentang prinsip asas, metodologi dan teknik yang bersesuaian dalam penilaian harta tanah khas.

Peserta juga didedahkan dengan kemahiran analisis, pengetahuan secara teori dan praktikal yang diperlukan dalam menilai aset-aset di pelaburan secara lebih komprehensif.

Modul kursus telah disampaikan oleh enam penceramah berkaliber iaitu Prof. Sr Dr. Wan Zahari Wan Yusoff dari UTHM, Prof. Madya Dr. Mohd Hasrol Haffiz Aliasak dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sr Azman Mab@Adnan dari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Sr Tun Ahmad Nasrullah Zulkifli dari IM Global serta Mohd Shukran Marzukhi dan Mohd Shobri Mat Desa dari Penang Port.

Para peserta turut berpeluang melawat Jeti Swettenham Pier iaitu pelabuhan bagi kapal persiaran bertaraf antarabangsa dan mempelajari selok-belok operasi pelabuhan tersebut.

Menurut Pengarah MyREI, Prof. Madya Sr. Dr. Abdul Jalil Omar, melalui kerjasama dan sokongan padu daripada pihak Penang Port, kursus itu telah berjaya membuka minda para peserta terhadap operasi di pelabuhan yang merupakan aset strategik yang penting bagi pembangunan negara.

“Dengan komitmen dan azam yang tinggi, pihak MyREI akan sentiasa berkolaborasi dengan pihak industri bagi mencari titik tengah yang berkait isu dan cabaran semasa dalam industri harta tanah negara yang semakin berprospek,” katanya.