BATU PAHAT – Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Soft Computing & Data Mining (SMC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya menganjurkan ‘The 6th International Conference on Soft Computing and Data Mining (SCDM 2024)’ pada 21 hingga 22 Ogos 2024 lalu secara dalam talian.

Pada persidangan kali ini, pihak penganjur telah menerima lebih banyak kertas kerja berbanding persidangan terdahulu, sekali gus membuktikan adanya sokongan berterusan daripada penyelidik di seluruh dunia terhadap SCDM.

Sebanyak 74 penyertaan diterima daripada 14 negara antaranya dari Malaysia, China, Taiwan, Jordan, Iraq, Saudi, Indonesia, Pakistan dan Nigeria.

Bagi mengekalkan kualiti setiap kertas kerja, ia telah disaring serta disemak dengan teliti dahulu oleh jawatankuasa persidangan.

Persidangan kali ini menunjukkan peningkatan kadar penerimaan sebanyak 71 peratus berbanding 64 peratus pada persidangan yang terdahulu.

Kesemua kertas kerja yang diterima telah diterbitkan dalam Part of The Springer: Lecture Notes in Networks and Systems.

Persidangan kali ini juga turut mengundang pengucaptama dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, University of Oxford dan Neversis Sdn. Bhd.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim turut hadir menyempurnakan majlis perasmian yang berlangsung pada 21 Ogos 2024.

Beliau dalam ucapannya menyeru kepada semua untuk terlibat secara serius dan mendalam dalam persidangan seumpama ini, di samping sebagai platform untuk bertukar idea dan mencabar kebijaksanaan konvensional ahli penyelidik.

“Inovasi yang lahir dari persidangan ini berpotensi bagi membentuk masa depan, memacu kemajuan teknologi dan memberi impak postif kepada masyarakat.

“Justeru itu, saya ingin menyeru kepada semua penyelidik untuk sentiasa menjalankan perkongsian dan kerjasama baharu serta berkongsi idea yang boleh membuka jalan kepada penyelidikan dan penyelesaian transformatif,” katanya.

Turut diadakan, sesi pembentangan oleh setiap peserta bagi memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan maklum balas dan berkongsi idea dengan para peserta lain mengenai tren terkini penyelidikan dalam bidang kecerdasan buatan.

Bagi menghargai peserta yang menghasilkan kertas kerja terbaik, pihak penganjur turut melantik panel bagi menilai dan menganugerahkan ‘Best Paper Award SCDM 2024’ kepada dua kertas kerja terbaik, yang membawa pulang hadiah bernilai RM500.