Oleh Farhawahidah Ahmad Puad

BATU PAHAT – Festival Makanan Tempatan UTHM 2024 yang diadakan di tapak Padang Kawad Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), kampus induk pada 1 hingga 9 Ogos 2024 lalu berjaya menarik kira-kira 2000 pengunjung sekali gus telah membantu menjana pendapatan peniaga.

Seramai 93 peniaga menawarkan pelbagai jenis jualan makanan tempatan meliputi menu makanan viral yang sentiasa menjadi tumpuan utama pengunjung.

Menurut salah seorang wakil syarikat kolaborator, Murni Sahabat Sdn. Bhd., ketiadaan pelajar di kampus ekoran cuti semester sama sekali tidak menjejaskan jualan kerana setiap hari tapak festival sentiasa dikunjungi oleh masyarakat sekitar.

Manakala Pengarah BizDec, Hawa Omar pula berkata, selain jualan oleh penggerai luar, peluang berniaga juga turut dibuka secara percuma kepada pelajar-pelajar yang berminat yang masih berada di dalam kampus.

“Ruang berniaga disediakan kepada pelajar bagi memberi peluang dan pengalaman sebenar berniaga, selain sebagai usaha memupuk minda usahawan sebagai nilai tambah dalam diri mereka,” katanya.

Justeru, festival itu menjadi salah satu tanggungjawab social BizDeC, Syarikat Murni Sahabat dan Pusat Teknousahawan Universiti (PTU) selaku penyelaras keusahawanan pelajar, dalam membuka peluang serta ruang berniaga kepada masyarakat setempat dan pelajar bagi penjanaan pendapatan mereka.

Penganjuran festival turut dimeriahkan dengan pemainan tradisional dan aktiviti bersama masyarakat.