BATU PAHAT – Bagi menyemarakkan lagi pengamalan budaya lestari, Pejabat Kampus Lestari (SCO), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Kelestarian Universiti (JPKU) telah menganjurkan program ‘Earth Month Awareness 2024’ yang bermula pada 1 April hingga 30 Jun 2024 lalu.

Program Earth Month Awareness merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh SCO bersempena dengan sambutan International Mother Earth Day pada 22 April dan World Enviroment Day pada 5 Jun setiap tahun.

Pelbagai aktiviti menarik telah dilaksanakan seperti webinar, pertandingan, kempen, kursus dan program kelestarian yang bertujuan menarik minat dan memupuk budaya lestari dalam kalangan warga UTHM dan komuniti luar.

Menurut Ketua Jabatan (Pengurusan dan Kejuruteraan Lestari), Prof. Madya Dr. Nur Shaylinda Mohd Zin, secara keseluruhannya sebanyak sembilan webinar dan tiga pertandingan telah dianjurkan selain pelaksanaan kempen dan kursus bagi memperkasa budaya lestari dalam kalangan warga UTHM.

Turut diadakan, program penanaman pokok serta dua program kitar semula di peringkat pusat tanggungjawab bertujuan memudahkan warga UTHM melakukan aktiviti kitar semula di pejabat masing-masing.

“Terima kasih diucapkan kepada semua ketua bagi setiap kluster JPKU iaitu Ir. Ts. Dr. Tong Yean Ghing (Sisa dan Kitar Semula), Ir. Dr. Hartini binti Kasmin (Air), Dr. Mohammad Nasir Mohamad Taher (Perjalanan dan Pengangkutan), Dr. Nur Adila Ab. Aziz (Pendidikan dan Penyelidikan), Prof. Madya Dr. Rozlin Zainal (Pembangunan, Iklim dan Daya Tahan), Prof. Madya Ts. Dr. Azeanita binti Suratkon (Bangunan Hijau) dan Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Noor Abdullah (Tenaga) bersama ahli-ahlinya yang telah menyokong penuh penganjuran program ini dengan pengisian pelbagai aktiviti menarik sepanjang program berlangsung.

“Diharapkan dengan penglibatan warga UTHM dalam program ini dapat menyemarakkan lagi budaya lestari dalam mewujudkan sebuah kampus yang lebih kondusif,” katanya.