Oleh Muhammad Hanafi Asril Rajo Mantari, Ahmad Faiz Ahmad Zin

MUAR – Dua staf Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diberi kepercayaan oleh Komuniti Madani Pekan Pagoh untuk merangka, mengurus dan melaksanakan satu program komuniti yang dinamakan ‘Jiwa Madani Pekan Pagoh’ yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kota Raja, Panchor, Muar pada 29 Jun 2024 lalu.

Dua staf dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal iaitu Muhammad Hanafi Asril Rajo Mantari telah dilantik sebagai pengarah program dan Ahmad Faiz Mat Zin dilantik sebagai pengurus aktiviti, sambil dibantu oleh lapan pelajar UTHM.

Untuk rekod, Komuniti Madani Pekan Pagoh merupakan badan sukarela pelbagai kaum untuk memupuk nilai-nilai murni dan kenegaraan dalam kalangan rakyat melalui tiga teras utama iaitu membantu pemasaran maklumat kerajaan, mendigitalkan komuniti serta memupuk semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan.

Program yang disertai kira-kira 100 penduduk dari Pagoh dan kawasan berdekatan itu mendapat sambutan yang sangat memberansangkan dan di luar jangkaan.

Antara aktiviti yang dilaksanakan, Pertandingan Catur Bawah 12 Tahun, Pertandingan Catur Terbuka, Pertandingan Memanah Bawah 12 Tahun, Pertandingan Mewarna Bawah 12 Tahun dan Pertandingan Mewarna Bawah 7 Tahun.

Selain pertandingan, program komuniti tersebut turut diisi dengan pameran daripada Kolej Komuniti Pagoh, Jabatan Pertanian Pagoh dan Suruhanjaya PilihanRaya (SPR) Muar.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bukit Pasir, Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh hadir merasmikan majlis penutup program yang diadakan pada hari yang sama, sekali gus menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Hadir sama, Pengerusi Komuniti Madani Pekan Pagoh, Kapten (B) HJ Najib Lep, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Muar (MPM) Jorak B, Tai Chee How dan wakil Penghulu Jorak Panchor.