Oleh Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin

UTHM Kampus Cawangan Pagoh, 19 Jun 2024 – Bertemakan “Transformasi Pengajaran dan Pembelajaran ke arah Kecemerlangan Mampan,” Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, (FAST) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Pertandingan Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) pada 19 Jun 2024 lalu bertempat di Kampus Cawangan Pagoh.

Program kendalian Jawatankuasa Inovasi P&P FAST dengan kerjasama kelab pelajar Science Technology Club (STC) itu diadakan bertujuan untuk mendapatkan maklum balas secara langsung daripada para peserta berkenaan idea-idea inovatif berkaitan penggunaan alat interaktif dalam P&P yang telah diperkenalkan oleh pensyarah.

Para peserta pertandingan dikehendaki mencadangkan alat dan kaedah tambahan yang dapat meningkatkan proses P&P yang telah diperkenalkan.

Program tersebut diketuai oleh Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin dengan kerjasama Prof. Madya Dr. Balkis Hj. A. Talip, Pengerusi Jawatankuasa Inovasi P&P FAST.

Sebanyak 20 kumpulan daripada pelbagai latar belakang telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini melibatkan kriteria penilaian merangkumi keaslian idea, kreativiti, keberkesanan Cadangan serta potensi untuk meningkatkan P&P

Sementara itu, pertandingan tersebut turut dihadiri Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Prof. Madya Dr. Afandi Ahmad.

Beliau dalam ucapan perasmiannya berharap program itu dapat memupuk semangat inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar, seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran di UTHM.

Pelbagai idea menarik telah dipersembahkan oleh para pelajar, termasuk alat bantu mengajar terkini dan lebih efektif, aplikasi gamifikasi, pengurusan projek dan permainan matematik.

Keaslian dan kreativiti idea-idea itu menunjukkan betapa pentingnya inovasi dalam meningkatkan kualiti P&P di UTHM.

Hadiah para pemenang pertandingan ditaja oleh Management Sciences/Operations Research Society of Malaysia (MSORSM) yang merupakan sebuah organisasi profesional yang berfungsi sebagai platform untuk menggalakkan perkembangan dan aplikasi ilmu Sains Pengurusan dan Penyelidikan Operasi di Malaysia.

Mereka berperanan menghubungkan para ahli akademik, profesional industri dan pelajar melalui pelbagai program dan aktiviti seperti seminar, bengkel dan lawatan industri.

Inovasi bertajuk ‘Maximal Flow Technique’ yang diketuai oleh Nur Ayu Nabila Rahim dari FAST telah memenangi tempat pertama dengan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM300, e-sijil dan bakul makanan.

Inovasi bertajuk ‘Explooprace’ yang diketuai oleh Muhammad Adib Mohammad Faiz dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat telah merangkul tempat kedua dan  menerima hadiah berupa wang tunai RM200, e-sijil dan bakul makanan.

Tempat ketiga berupa wang tunai RM100, e-sijil dan bakul makanan dimenangi oleh kumpulan pelajar dari FAST yang diketuai oleh Muhammad Ihsan Hafizar dengan tajuk inovasi ‘Shortest Path Road.’

Manakala Anugerah khas pula telah dimenangi oleh kumpulan di bawah pimpinan Anis Eliesa Syareena Yaakub dari FAST dengan inovasi ‘Math Escape in Roblox.’

Pemenang telah menerima wang tunai berjumlah RM300 dan hadiah saguhati pula berupa e-sijil dan bakul makanan.

Selain pertandingan, program itu turut menampilkan sesi perkongsian ilmu tentang ‘Manangements Sciences/Operations Research’ yang disampaikan oleh Dr. Nurakmal Ahmad Mustaffa dari Universiti Utara Malaysia, yang juga merupakan Setiausaha Kehormat MSORSM.

Sesi tersebut berupaya memberi pendedahan yang berguna kepada para pelajar tentang aplikasi teori dan praktikal dalam bidang tersebut.

Pertandingan itu bukan sahaja memupuk semangat kompetitif yang sihat dalam kalangan pelajar, tetapi juga menunjukkan komitmen UTHM untuk terus maju dalam bidang pendidikan dengan menggalakkan penggunaan teknologi dan metodologi pengajaran yang inovatif.