BUKIT MERTAJAM – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mencatat rekod kecemerlangan apabila berjaya meraih Anugerah Lima Bintang Penarafan Tunggal Program TVET bagi tahun 2023 pada 7 Mac 2024 lalu.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Kementerian Sumber Manusia, Dato’ Hajah Norison Ramli ketika berlangsungnya ‘Karnival Jelajah Madani Jom Masuk TVET Zon Utara 2024’ anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia di Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI), Pulau Pinang.

Menurut Ts. Dr. Mohd Hasril Amiruddin selaku Pengurus Pusat Bertauliah (K16007), sumbangan dan pencapaian cemerlang menerusi bidang Penyeliaan Pemasangan & Penyelenggaraan Elektrik-Tiga Fasa (EE-320-3:2012), Penyeliaan Pemasangan & Penyelenggaraan HVAC (ME-020-3:2012) dan Proses Kimpalan Arka Kepingan Logam (MC-024-3:2012) telah membuahkan hasil apabila Pusat Bertauliah yang berpusat di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) telah menerima anugerah tersebut hasil penilaian yang dibuat pada Oktober tahun lalu.

Objektif penarafan program TVET adalah untuk menilai tahap kualiti penyampaian program melalui instrumen dan parameter penilaian yang seragam selain bertujuan untuk menanda aras program TVET di pelbagai Kementerian bagi memberi maklum balas dan meningkatkan kualiti latihan.

“Ia sekali gus membuktikan kesediaan UTHM sebagai salah satu penyedia Latihan TVET untuk sentiasa mengekalkan standard dan kualiti yang dikehendaki.

“Semoga pencapaian ini dapat memberi inspirasi kepada mereka yang terlibat dalam bidang pembangunan kemahiran di UTHM,” kata Dr. Hasril.