BATU PAHAT – Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengumpulkan seramai 40 pelajar dari lapan universiti seluruh Indonesia bagi menjayakan program mobiliti antarabangsa pada 1 Julai – 28 Julai 2023.
Program kolaborasi bersama Ahli & Dosen Republik Indonesia (ADRI) itu melibatkan peserta daripada STT Dumai, Universitas Widya Gama Mahakam, Universitas Negeri Malang, Universitas Kadiri, Universitas Dr. Soetomo, STIH Manokwari, STKIP PGRI SITUBONDO dan STIKES Mutiara Mahakam.
Naib Canselor UTHM, Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim hadir merasmikan program yang dijalankan selama 28 hari itu.
Program mobility kendalian 21 ahli jawatankuasa yang diketuai Profesor Madya Ts. Dr. Affero Ismail itu diadakan bertujuan untuk mendedahkan peserta berkenaan asas metodologi dalam kajian di samping memperkenalkan adat dan budaya masyarakat Malaysia.
Menurut Dr. Affero, peserta didedahkan dengan kursus akademik seperti Metodologi Kajian dan Statistik yang melibatkan pembelajaran yang inovatif dan pratikal, serta kelas masakan Malaysia dan kelas tarian zapin.
“Peserta juga berpeluang menyertai program campus tour, lawatan ke Bandaraya Bersejarah Melaka, Program UNESCO World Youth Skill Day, sesi motivasi dan bersama penceramah jemputan Dr. Soo Wincci sempena program bersama PERMATA,” jelas beliau.
Pelaksanaan program itu juga diadakan sebagai satu inisiatif dalam mengeratkan lagi hubungan antara dua negara nusantara melalui silang budaya dan cara hidup di Malaysia.
“Pihak kami mendapat maklum balas positif daripada peserta sekali gus membuktikan objektif dan matlamat program ini tercapai.
“Kami juga berharap para peserta dapat membawa pulang ilmu yang dipelajari di UTHM dan berkongsi pula dengan komuniti di Indonesia,” katanya.
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 12 Ogos 2023: Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional UTHM jayakan program mobiliti antarabangsa
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional UTHM jayakan program mobiliti antarabangsa