JERMAN – Kepakaran Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sekali lagi mendapat perhatian United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) apabila Profesor Madya Ts. Dr. Affero Ismail telah dijemput mewakili negara sebagai panel untuk satu persidangan antarabangsa TVET.

Dr. Affero dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional telah dijemput untuk membentangkan idea mengenai transformasi TVET ketika berlangsungnya persidangan yang membincangkan tentang pelan strategik UNESCO untuk TVET bagi tahun 2022 – 2029.

Kira-kira 120 peserta hadir ke persidangan tersebut yang diadakan di United Nations Campus, Bonn, Jerman.

Persidangan yang diadakan pada 25 dan 26 Oktober 2022 itu juga menyaksikan Pelancaran Strategi UNESCO untuk TVET (2022-2029) yang berlangsung secara bersemuka dan dalam talian.

Menurut Dr. Affero, persidangan itu disertai oleh pegawai peringkat tinggi, penggubal dasar, pemegang kepentingan TVET dan pengamalnya, guru TVET, jurulatih dan pelajar serta rakan pembangunan merangkumi kumpulan pelbagai hala, organisasi serantau dan tempatan, penderma, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan rangkaian belia.

“Objektif utama persidangan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan negara anggota dan komuniti antarabangsa mengenai strategi baharu UNESCO untuk TVET dan kepentingan memperbaharui semula pendidikan dan kemahiran untuk pekerjaan dan kehidupan.

 “Saya berharap sumbangan idea dan pendapat mengenai pelan strategik ini dapat memartabatkan lagi sistem pendidikan TVET serta berupaya menjadikan UTHM sebagai institusi TVET global yang dikenali di mata dunia,” kata Dr. Affero.

 

Berita ini juga diterbitkan di :

1. mediadigitaljohor.gov.my, 3 November 2022 : https://mediadigitaljohor.gov.my/unesco-jemput-pakar-tvet-uthm-kongsi-idea/