BACHOK – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mencatat sejarah apabila berjaya membawa pulang 12 pingat daripada 12 penyertaan yang dipertandingkan di Persidangan dan Eskpo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2022 yang berlangsung pada 1 hingga 3 November bertempat di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Daripada jumlah tersebut, UTHM berjaya meraih enam pingat emas, empat perak dan dua gangsa.

Pingat emas berjaya diraih oleh penyelidik dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Prof. Madya Ts. Dr. Suliadi Firdaus Sufahani, penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik (FKEE), Prof. Madya Ts. Dr. Elmy Johana Mohamad, Ts. Dr. Ahmad Fateh Mohamad Nor dan Dr. Hisyam Abdul Rahman, penyelidik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Dr. Mimi Suliza Muhamad dan penyelidik dari Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Dr. Khairol Anuar Kamri.

Manakala pingat perak diraih oleh penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Prof. Madya Dr. Mohd Khir Mohd Nor, penyelidik dari FKEE, Dr. Khairul Anuar Mohamad, penyelidik dari FAST, Dr. Aqilah Awg Abdul Rahman dan penyelidik dari Pusat Pengajian Diploma, Ts. Muhammad Shukri Ahmad.

Manakala pingat gangsa pula diraih oleh penyelidik dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Dr. Azita Ali dan penyelidik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Prof. Madya Dr. Angzzas Sari Mohd Kassim.

Pada penganjuran kali ini, PECIPTA’22 telah menerima lebih 433 penyertaan dan produk inovasinya telah dinilai oleh para juri profesional.

Majlis perasmian PECIPTA’22 yang berlangsung pada 3 November lalu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff.

Untuk rekod, PECIPTA‘22 merupakan satu platform percambahan fikiran untuk mengumpulkan hasil ciptaan pereka cipta tempatan dan luar negara.

PECIPTA juga merupakan pentas terbaik bagi membincang dan mengupas idea baharu berkaitan penyelidikan, inovasi, pengkomersialan, keusahawanan dan masyarakat yang lebih dikenali sebagai RICES.

Pembudayaan ekosistem RICES ini telah diperkenalkan dan diamalkan di UMK dan terbukti berjaya mempercepatkan pembangunan penyelidikan selain berupaya merangsang peningkatan sosio ekonomi keluarga Malaysia.

Objektif utama penganjurannya adalah bagi menyokong matlamat dan aspirasi kerajaan Malaysia dalam menerajui pembangunan negara melalui penekanan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang sains dan teknologi.

Selain itu, penganjuran PECIPTA saban tahun juga dapat meningkatkan keyakinan sektor industri tempatan dan luar negara berkaitan kepakaran penyelidikan yang terdapat di institut pengajian tinggi, dengan menjadikan eskpo tersebut sebagai platform untuk bersama-sama membangunkan aktiviti hiliran ke arah penubuhan sebuah negara maju.

Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim berharap kemenangan tersebut dapat memberi motivasi kepada penyelidik untuk terus berkarya dan mengembangkan lagi hasil penyelidikan dan inovasinya ke seluruh dunia.