Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memperkenalkan satu program inisiatif baharu iaitu Research Enhanced-Structured Internship Programme (RE-SIP) bagi mewujudkan hubungan kerjasama penyelidikan antara universiti dan industri melalui gabungan Latihan Industri (LI) dan Projek Sarjana Muda (PSM) pelajar.

Program di bawah Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni dengan kerjasama Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat serta fakulti ini menggunakan pendekatan berdasarkan latihan industri berstruktur yang disediakan oleh industri merangkumi aktiviti penyelidikan berupa permasalahan  yang dihadapi industri untuk dibawa pulang oleh pelajar sebagai tajuk Projek Sarjana Muda (PSM).

Sepanjang program ini berlangsung, pelajar akan diselia oleh penyelia fakulti dan penyelia industri yang dilantik.

Inisiatif RE-SIP ini mampu mengukuhkan ekosistem pengajian tinggi melalui kerjasama penyelidikan antara universiti dan industri dalam meningkatkan produktiviti dan pengetahuan teknologi industri, selain melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang dapat memenuhi pasaran kerja selari dengan hala tuju Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi tempoh lima tahun akan datang.

Selain itu, RE-SIP juga menepati matlamat Lonjakan pertama – Graduan Holistik, Bercirikan Keusahawanan dan Seimbang, Lonjakan kedua – Kecemerlangan Bakat, Lonjakan kelima – Kemampanan Kewangan dan Lonjakan ketujuh – Ekosistem Inovasi dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) bagi mencakna bakal graduan agar sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran baharu untuk terus kekal kompeten dan relevan dalam pasaran pekerjaan.  Pada masa yang sama, kerja penyelidikan yang dijalankan perlu selari dengan keperluan pasaran.

Sebanyak 25 syarikat di Malaysia bersetuju untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan UTHM dalam RE-SIP. Melalui penglibatan dalam RE-SIP, dijangkakan syarikat dapat bergerak maju dan pembangunan syarikat dapat dipertingkatkan pada kadar yang lebih tinggi dengan melaksanakan penyelidikan dan inovasi dalam syarikat.

Bagi merealisasikan inisiatif baharu tersebut, satu majlis pelancaran program telah diadakan secara maya pada 8 Ogos 2021 lalu dan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), KPT, Profesor Ir. Dr. Robiah Yunus.

Turut hadir, Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pendaftar UTHM, Abdul Halim Abdul Rahman, Pegawai-pegawai Kanan universiti serta rakan industri.

Sementara itu, Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) RE-SIP antara pihak UTHM dengan 25 rakan kerjasama strategik juga turut di adakan. UTHM diwakili oleh Naib Canselor manakala pihak industri diwakili oleh Ahli-ahli Lembaga Pengarah serta wakil dari syarikat yang terlibat.

MoA ini turut disaksikan oleh Pendaftar UTHM dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Ts. Dr. Lokman Hakim Ismail.

Kerjasama strategik ini diharap dapat memberi manfaat besar kepada UTHM dan rakan-rakan kerjasama serta dapat membantu universiti dalam melonjakkan prestasi, kecemerlangan universiti dalam akademik, penyelidikan dan inovasi dan pembangunan mahasiswa.