Oleh Yeoh Li Cheng

Bagi memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan ujian kemahiran Bahasa Mandarin ataupun Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK), Pusat Pengajian Bahasa (PPB) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program Peningkatan Penguasaan Bahasa Mandarin: Chinese Proficiency Test (HSK) Starter Kit pada 23 dan 24 Ogos lalu.

Program ini disertai oleh 33 orang pelajar UTHM yang pernah mengikuti kursus bahasa Mandarin tahap satu dan tahap dua bersama penceramah Yeoh Li Cheng, guru bahasa Mandarin UTHM.

Selain memberi pendedahan mengenai HSK, program ini diadakan bertujuan memberi peluang kepada para peserta untuk menguji tahap penguasaan bahasa Mandarin melalui ujian percubaan HSK.

Ujian percubaan HSK ini telah diadakan melalui platform pembelajaran dalam talian UTHM iaitu AUTHOR.

Menurut Yeoh, seperti ujian bahasa Inggeris MUET yang menguji penguasaan bahasa Inggeris, HSK merupakan ujian bertaraf antarabangsa untuk menguji kemahiran bahasa Mandarin.

HSK merupakan ujian piawai bahasa Mandarin daripada China untuk penutur bukan asli seperti pelajar asing dan masyarakat Cina luar negara. Ujian ini dijalankan oleh Pejabat Majlis Bahasa Cina Antarabangsa (Hanban), sebuah agensi dari Kementerian Pendidikan Republik Rakyat China.

Tambah beliau, HSK terdiri daripada enam tahap, tahap satu dan dua merupakan tahap asas manakala tahap tiga adalah tahap pengantara yang memerlukan penguasaan karakter Mandarin, tahap empat hingga tahap enam pula merupakan tahap tinggi.

“Ia bukan sahaja cara terbaik bagi para pelajar Bahasa Mandarin menguji tahap penguasaan mereka, malah juga sebagai ujian khas bagi sesiapa yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke negara China, sekali gus sebagai cara terbaik membuktikan tahap penguasaan bahasa ini dalam dunia persaingan kerjaya,” katanya.

Program ini terbahagi kepada empat sesi iaitu Pengenalan HSK, Struktur Soalan HSK, Ujian Percubaan HSK dan Kesimpulan. Cara peningkatan penguasaan bahasa Mandarin turut diberikan semasa sesi terakhir.

“Sebelum ujian percubaan dijalankan, peserta-peserta telah diberi peluang untuk membuat sedikit ulang kaji pembelajaran kosa kata pada semester lepas melalui fungsi gamifikasi Quizlet.

“Skrip terjemahan telah dibincang supaya peserta mengetahui bentuk soalan Ujian Kemahiran Bahasa Mandarin yang bertaraf antarabangsa ini.

“Melalui ujian percubaan yang kami jalankan, peserta-peserta telah mendapat pengalaman menjawab soalan Ujian HSK,” katanya.

Turut dikongsikan, proses untuk mendapatkan sijil pengiktirafan kemahiran bahasa Mandarin untuk pelajar-pelajar yang telah mempelajari asas bahasa Mandarin.

Para peserta juga didedahkan dengan perkongsian kejayaan bekas pelajar UTHM, Aesyah Razaki yang telah berjaya memperolehi sijil HSK tahap dua selepas mengikuti kursus bahasa Mandarin tahap satu dan dua serta kursus intensif HSK tahap 1-2 di UTHM dalam tempoh 2018-2020.

Aesyah juga merupakan peserta summer-camp di Beijing pada tahun 2019. Pendedahan seperti ini telah memberikan dorongan kepadanya untuk meneruskan pembelajaran bahasa Mandarin sehingga mendapat sijil pengiktirafan antarabangsa dan beliau akhirnya telah berjaya mencapai markah kelulusan yang cemerlang.

Perkongsian ini telah memberikan motivasi kepada para peserta untuk meneruskan pembelajaran bahasa Mandarin sehingga mendapat sijil pengiktirafan HSK.

Pengiktirafan ini bukan sahaja untuk meningkatkan kemampuan daya saing dalam dunia kerjaya, tetapi juga memenuhi kelayakan bahasa untuk melanjutkan pelajaran di China.

Yeoh yang mewakili PPB berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memberi pengalaman dan pendedahan kepada pelajar yang telah mempelajari bahasa Mandarin.

“Semoga program ini dapat membuka peluang kepada para pelajar untuk berani menguji tahap penguasaan bahasa Mandarin yang telah dipelajari mereka sebelum ini ke peringkat yang lebih tinggi selain mampu menjadi nilai tambah kepada diri mereka,” katanya.