PAGOH – Bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran konservasi hidupan liar dalam kalangan masyarakat, hampir 350 peserta terdiri daripada pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) serta masyarakat setempat telah menyertai larian amal Run For The Wild: Fantastic Beast of Malaysia anjuran pelajar program Biodiversiti dan Pemuliharaan dan Majlis Kepimpinan Pelajar Kolej Kediaman Pagoh 2.
Menurut Penasihat Program Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar, 29 dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, UTHM agenda mengarus perdanakan usaha konservasi ini patut disemai dalam minda pelajar dan masyarakat secara menyeluruh dan bukan hanya perjuangan peribadi golongan yang berada di dalam bidang ini sahaja.
Katanya mengikut laporan World Economic Forum, Malaysia memiliki jaringan jalan raya bertaraf dunia dan dari aspek pembangunan sosial, perkara ini sangat membanggakan. Namun, dari sudut konservasi hidupan liar, mereka mengalami fragmentasi habitat yang mana mereka terperangkap di dalam habitat yang kecil dan dikelilingi oleh infrastruktur seperti jalan raya.
“Ini jelas dilihat dari pelbagai laporan kes yang melibatkan kemalangan jalan raya melibatkan hidupan liar seperti kucing hutan, ular, tapir, beruang, gajah, harimau kumbang, harimau belang dan kambing gurun.”
Tambah beliau konservasi hidupan liar semakin hari menjadi topik terpencil yang semakin lama semakin janggal dan aneh untuk dibincangkan oleh golongan di luar lingkungan penyelidik dan pemegang taruh hidupan liar.
“Masyarakat Malaysia secara keseluruhannya perlu didedahkan terhadap kepentingan hidupan liar dan cabaran memulihara mereka kerana hidupan liar ini merupakan warisan negara yang sepatutnya dijaga oleh semua.”
Katanya lagi apabila semua masyarakat mulai sedar dan faham, maka setiap lapisan golongan yang bergelar warga negara Malaysia akan lebih bertanggungjawab mengenai konservasi hidupan liar.
Program ini juga mendapat kerjasama daripada Wildlife Conservation Society (WCS), yang mana 10 orang wakil daripada pihak mereka turut menyertai larian tersebut selain turut mengadakan pameran mengenai konservasi hidupan liar. Program larian sejauh lima kilometer ini merupakan acara tahunan kali kedua dianjurkan dan kali ini mencetuskan sedikit kelainan apabila diadakan pada waktu malam.
Sebanyak RM500 juga telah berjaya dikumpul menerusi program ini dan telah disumbangkan kepada WCS untuk membantu usaha pertubuhan bukan kerajaan tersebut memperjuangkan nasib hidupan liar di Malaysia.