BATU PAHAT – Peranan mahasiswa bukan sekadar di sekitar ruang lingkup kuliah malahan sebagai agen penggerak masyarakat dalam kerja-kerja kesukarelawanan dan medium kepada keperluan hubungan antara universiti dan masyarakat (University Community Engagement).
Bagi menzahirkan peranan tersebut, pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) Pengurusan Diri Seksyen 1, di bawah Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program UTHM 4.0 BLOSSOM dengan kerjasama Kolej Vokasional Muar bertempat di Dewan Tunku Mahkota Ismail, UTHM Kampus Parit Raja.
Program UTHM 4.0 BLOSSOM ini merupakan program yang berteraskan kemahiran mengenali potensi dan bakat diri ke arah persediaan pelajar dalam menghadapi revolusi Industri 4.0.
Menurut Pengarah program Saudara Viveygen A/L Basker, objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan serta maklumat kepada para peserta yang terlibat untuk mengenali potensi diri sendiri, melatih serta membimbing pelajar membina keyakinan diri sekali gus meningkatkan kemahiran insaniah diri dan membantu menyebarkan ilmu yang bermanfaat yang boleh dipraktikkan untuk kegunaan masa hadapan.Tambahan itu, pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti latihan dalam kumpulan untuk mengenali kemahiran diri, mengetahui potensi diri dan menghargai kejayaan diri.
Sementara itu, Pengajar Kursus Pengurusan Diri, Mohd Hilmi Izwan Abd Rahim berkata Program UTHM 4.0 BLOSSOM ini dapat memberi pendedahan kepada warga Kolej Vokasional Muar, Johor bagi membentuk nilai keperibadian dan mampu berfikir secara kreatif dan kritis untuk menghadapi gelombang Revolusi Industri 4.0 dalam mengaplikasikan kemahiran diri sendiri.
Manakala Siti Zawani Noor Buddy, Pensyarah Kolej Vokasional Muar pula berkata program ini dapat membentuk keperibadian para peserta untuk bersedia dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi seiring dengan dunia yang semakin mencabar kini. Beliau turut berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana program ini dilihat mampu memberi impak yang positif kepada peserta.