Kluang – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Pengajian Diploma (CeDS) sekali lagi tampil dengan aktiviti kemasyarakatan yang membabitkan guru dan warga sekolah melalui program “Arduino for Beginners” yang diadakan pada 11 Februari lalu berlokasi di Kolej Vokasional Kluang.
Penganjuran program berbentuk khidmat masyarakat ini merupakan inisiatif bersama Jabatan Kejuruteraan Elektrik, CeDS dengan Kolej Vokasional Kluang bertujuan untuk memberi pengetahuan tambahan mengenai mikropengawal Arduino kepada 21 pelajar tahun dua jurusan Diploma Teknologi Elektronik. Manakala lapan orang staf CeDS telah terlibat sebagai fasilitator bagi menjayakan program tersebut.
Usaha CeDs itu merupakan sumbangan ilmiah bagi memastikan setiap peringkat masyarakat di negara ini turut mendapat faedah dan dapat merasai setiap perkembangan dalam dunia teknologi. Dengan perkembangan teknologi yang amat pesat pada masa ini, adalah amat penting untuk menghasilkan pelajar yang berkemahiran dan berdaya saing dalam penggunaan teknologi terkini.
Pelajar perlu diperkenalkan kepada asas-asas teknologi masa hadapan dan didedahkan dengan sedikit kemahiran yang membolehkan mereka menyesuaikan diri untuk bekerja di dalam suasana teknologi moden. Dengan kemahiran yang ada, pelajar akan mampu berdikari dalam menyelesaikan permasalahan dan memahami sesebuah sistem yang kompleks selain memberi
Atas tuntutan inilah CeDS, UTHM telah mengambil inisiatif untuk berkongsi ilmu dan pengalaman tentang penggunaan asas mikropengawal Arduino bagi membantu melahirkan pelajar jurusan elektrik dan elektronik khususnya, yang lebih praktikal dan inovatif serta lebih menguasai teknologi terkini dalam julat yang lebih luas lagi.
Sementara itu, program seperti ini merupakan aktiviti kedua yang telah dijalankan oleh staf CeDS, yang mana program pertama sebelum ini telah dibuat pada tahun 30 Jun 2016 bertempat di Kolej Vokasional Batu Pahat.