JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menjadi perintis menubuhkan Kor Siswa Bomba di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat, sebagai usaha menerap ilmu kebombaan dalam kalangan mahasiswa.
Pengarah JBPM Johor, Othman Abdullah, berkata 118 mahasiswa sedang menjalani latihan dan dijangka ditauliahkan pada Februari depan, sebelum pihaknya bercadang memperluaskan program itu kepada semua universiti awam (UA) dan swasta.
“Kumpulan yang bakal ditauliahkan menjadi Pegawai Bomba Bantuan itu perlu menjalani latihan asas selama dua semester iaitu 100 jam kredit latihan membabitkan langkah keselamatan kebombaan, pencegahan, asas memadam kebakaran dan perundangan.
“Pendedahan awal ini secara tidak langsung menarik minat mereka untuk menyertai pasukan bomba, selain memanfaat ilmu dan kemahiran kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perhimpunan Tahunan JBPM Johor di Dewan Serbaguna Kompleks Kuarters Bomba Johor, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Othman berkata, pihaknya menyasarkan pembabitan kira-kira 4,000 orang awam sebagai langkah mengembangkan peranan masyarakat bersama pasukan bomba secara lebih berkesan.
Katanya, sehingga kini, sebanyak 30 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) membabitkan seramai 929 ahli yang sudah mendapat latihan, selain pihaknya turut mengambil inisiatif menggalakkan penyertaan lebih ramai orang awam menerusi aplikasi mudah alih, Bomba Johor.
“Masyarakat adalah yang paling hampir dengan lokasi kejadian, seeloknya mereka lebih mengetahui dan memahami kaedah asas kebakaran supaya dapat bertindak dan memberi respon awal ketika berhadapan insiden kecemasan.
“Sebanyak 10,563 kes panggilan kecemasan yang diterima sepanjang tahun lalu, selain secara purata pihak bomba menerima 29 kes dalam sehari.
“Ini menunjukkan perlunya kerjasama daripada masyarakat untuk membantu bertindak kerana bomba tidak boleh bergerak sendirian, malah secara tidak langsung dapat meningkatkan kecekapan operasi pasukan berkenaan di lokasi kemalangan atau kebakaran,” katanya.
INFO:
– JBPM mempunyai 28 balai sedia ada di seluruh Johor
– 6 balai bomba sedang dalam pembinaan termasuk di Pagoh dan Sungai Rengit
– JBPM bercadang memperluaskan 3 Pos Bomba di sekitar bandar raya dan Kempas