Bagi membantu seorang ibu tunggal menikmati kehidupan yang lebih selesa dan dapat menyambut aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, pelajar tahun satu hingga tahun tiga Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menghulurkan bantuan dalam bentuk penambahbaikan rumah yang berlokasi di Parit Daun, Parit Raja Batu Pahat.
Program Khidmat Masyarakat kerjasama empat jabatan di bawah FPTP di Parit Daun yang bertemakan “Endah FPTP” telah dilaksanakan pada 22 April 2017 lalu. Program di bawah penyelarasan Dr. Kamaludin Bilal ini dapat mempertingkatkan elemen kemanusian dalam kalangan pelajar FPTP. Selain itu, program yang berbentuk bantuan kemasyarakatan ini dapat memupuk kesedaran kepada pelajar bahawa peranan mereka bukan sekadar di sekitar ruang lingkup kuliah malahan sebagai agen penggerak masyarakat dalam kerja-kerja kesukarelawanan. Antara impak yang signifikan diperolehi daripada program ini adalah dapat mengurangkan jurang di antara masyarakat setempat yang memerlukan bantuan dengan warga UTHM.
Program tersebut telah disempurnakan oleh Dekan FPTP iaitu Dr Mohd Lizam Mohd Diah. Pelbagai kerja-kerja khidmat masyarakat yang telah dijalankan seperti pembersihan kawasan sekitar rumah, kerja-kerja mengecat dinding, kerja-kerja menggantikan dan memasang tikar getah, pemasangan kipas siling telah dilakukan oleh pelajar-pelajar serta pensyarah-pensyarah FPTP.
Aktiviti-aktiviti ini juga dilihat dapat mendedahkan para pelajar dalam memupuk semangat integrasi bersama masyarakat luar dan berkongsi ilmu mendalami budaya masyarakat kampung. Program ini juga telah membuka ruang dan peluang untuk para pelajar meningkatkan sahsiah diri dan kepimpinan di samping mengeratkan silaturahim bersama pensyarah dan masyarakat setempat. Kerja-kerja penambahbaikan rumah yang telah dijalankan dua minggu lebih awal dan ditambah dengan aktiviti-aktiviti gotong royong berakhir pada pukul 3 petang. Program yang telah mendapat sumbangan dari wakil rakyat Parit Daun, Ketua Kampung, pelajar-pelajar tempatan dan luar negara serta warga UTHM telah ditutup secara rasmi oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPTP, Dr. Md. Asrul Nasid Masrom serta diiringi dengan sesi penyampaian sumbangan barang-barang keperluan asas kepada ibu tunggal, Puan Sharifah sekeluarga.
Program Endah FPTP ini telah berlangsung dengan lancar seperti yang dirancang sekali gus memberi peluang dan ruang kepada pelajar-pelajar, semua staf FPTP, dan warga UTHM untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat setempat. Melalui program sebegini, ia dapat meningkatkan rasa keinsafan, kepekaan terhadap keperluan golongan masyarakat yang memerlukan di samping memperkasakan lagi semangat kerjasama di antara warga UTHM dan masyarakat setempat.