Bersempena sambutan ulang tahun ke-20 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada tahun ini, satu usahasama antarabangsa bersama universiti terbaik Asia, National University of Singapore (NUS) dijalinkan bagi menganjurkan Konsert Ulang Tahun Ke-20 UTHM pada 21 September ini.
Konsert yang julung-julung kalinya dianjurkan ini akan turut dijayakan oleh pengarah muzik tersohor tanah air Datuk Johari Salleh dan artis popular Anuar Zain serta Alyah.
Suri Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah telah memberi perkenan untuk mencemar Duli berangkat menyaksikan konsert ini. Duli Yang Maha Mulia Tuanku merupakan penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah UTHM pada Majlis Konvokesyen Ke-7 yang berlangsung pada tahun 2008.
Seramai 76 anggota orkestra simfoni NUS akan berkolaborasi bersama pemuzik kombo UTHM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di pentas utama Dewan Konvokesyen UTHM yang boleh memuatkan 3000 orang di kampus induk UTHM Parit Raja Batu Pahat.
Penganjuran konsert ini merupakan satu manifestasi UTHM dalam meraikan aspek kesenian dalam sebahagian daripada perjalanan universiti yang selama ini begitu sinonim sebagai peneraju pendidikan kejuruteraan teknologi dan pendidikan teknikal Negara. Pemilihan NUS sebagai rakan kerjasama dalam menjayakan konsert ini pula merupakan simbolik hubungan erat dua negara iaitu Malaysia dan Singapura yang sentiasa terjalin utuh.
Konsep simfoni orkestra yang akan menjadi nadi utama irama konsert ini pula akan memberi nilai prestij terhadap konsert ini sejajar dengan kematangan usia dua dekad UTHM yang telah melahirkan lebih 20 ribu orang graduan setakat ini. Konsert ini juga bakal mencatat sejarah tersendiri kepada Daerah Batu Pahat kerana buat pertama kalinya persembahan simfoni orkestra didendangkan di daerah ini. Sebagai tanda hubungan erat UTHM dengan warga Batu Pahat ini, para pimpinan daerah dan pemimpin masyarakat sekitar kampus juga akan turut diundang menyaksikan konsert istimewa ini.
Bersempena konsert ini juga satu program mobiliti pelajar yang melibatkan pelajar UTHM dan NUS juga turut dijalankan. 76 pelajar NUS akan di bawa ke dua buah kampung sekitar Parit Raja bagi melawat dan merasai kehidupan kampung tradisional Melayu di situ. Sementara itu, seramai 1000 orang pelajar UTHM akan ke Singapura bagi mengadakan lawatan ilmiah di NUS serta beberapa lokasi terpilih di sana.
Selain penganjuran konsert ini, sambutan 20 tahun UTHM juga diisi dengan pelbagai acara antaranya program UTHM 20th Anniversary Lecturer Series dan Konvensyen Bandar Diraja Malaysia 2013.
UTHM ditubuhkan pada tanggal 16 September 1993 sebagai Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) yang berperanan melatih para tenaga pengajar untuk disalurkan ke politeknik-politeknik di seluruh negara serta melahirkan jurutera berkemahiran tinggi. Sejak dari tarikh tersebut, UTHM telah berkembang pesat dan melalui beberapa proses naik taraf dan penjenamaan korporat. Pada tahun 1996 dikenali sebagai Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO). Kemudian dinaik taraf sebagai IPTA pada tahun 2000 dengan nama Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) dan dijenamakan semula sebagai UTHM pada tahun 2007.
Pada ketika ini UTHM memiliki lebih 16 ribu orang pelajar, 2100 orang staf, lapan fakulti dan lebih 400 orang pelajar antarabangsa yang datang dari 20 buah negara.
15 September 2013
Dikeluarkan oleh:
Unit Perhubungan Awam
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
shafry@uthm.edu.my | 07-453702