NUSAJAYA – Seramai 34 pelajar subjek kokurikulum Sukan dan Kecergasan di bawah Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama-sama Kumpulan Fokus Impak Sosial (Impact) PPUK telah melaksanakan satu program pemindahan ilmu melibatkan ibu tunggal dari Persatuan Kebajikan Asnaf Barakah Johor Baharu pada 9 November lalu bertempat di Rhu Health & Massage Centre, Taman Eco Botani, Johor Bharu.

Menurut Pengajar subjek, Dr. Mohd Zulfadli Rozali program yang dinamakan “Supermom Superfit” ini merangkumi pendedahan berkaitan aspek kesihatan, kecergasan serta cara pengamalan gaya hidup sihat yang bersesuaian dengan peringkat umur khusus untuk ibu-ibu tunggal.

Menurut beliau lagi, penganjuran program sebegini dilaksanakan bagi memastikan UTHM dapat berfungsi sebagai institusi yang dapat membantu menyelesaikan masalah masyarakat sesuai dengan matlamat yang diperjuangkan iaitu “Universiti untuk Masyarakat.”

Selain itu, program ini juga bertujuan untuk melatih kemahiran insaniah pelajar terutamanya untuk beinteraksi dengan komuniti luar dalam menyelesaikan permasalahan yang dialami oleh mereka.

Antara pengisian aktiviti yang dilaksanakan, sesi bersama Profesor Madya Dr. Khairunesa Isa, wakil daripada Impact PPUK yang menyampaikan ceramah bertajuk “Apa itu kesihatan dan Kesejahteraan.”

Turut diadakan, sesi perkongsian oleh pengajar dan pelajar berkenaan pemakanan sihat, cara mengamalkan gaya hidup sihat serta beberapa jenis regangan yang boleh diamalkan oleh ibu-ibu tunggal ketika berada di rumah.

“Pihak kami juga amat berterima kasih kepada pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program pemindahan ilmu ini terutama pihak Rhu Health & Massage Centre kerana sudi menyediakan ruang untuk para peserta berkursus,” katanya.

Sementara itu, wakil ibu tunggal Persatuan Kebajikan Asnaf Barakah Johor Bharu, Puan Najmah Md Salleh pula berkata mereka berasa amat bertuah kerana pihak UTHM sudi berkongsi maklumat yang bermanfaat untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Kami berharap dapat mengamalkan segala ilmu yang dipelajari hari ini sekali gus dapat memperbaiki tahap kesihatan masing-masing dengan lebih baik selepas ini,” tambahnya.