BATU PAHAT – Bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan masyarakat penyayang, prihatin dan saling bantu membantu, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan program khidmat masyarakat bertempat di Sekolah Kebangsaan Sri Bunut, Parit Raja pada 13 Disember lalu.
Program khidmat masyarakat kendalian Jabatan Pengurusan Pembinaan (JPP), FPTP dengan kerjasama Kelab Pengurusan Pembinaan (CMC) ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf lanskap sekolah terbabit agar kelihatan lebih kemas, bersih dan menarik.
Aktiviti gotong royong ini adalah hasil usahasama 13 pensyarah JPP bersama 30 pelajar CMC dan juga berbekalkan sumbangan daripada para pensyarah jabatan tersebut serta pihak industri yang terlibat bagi merealisasikan impian pihak sekolah yang mahu adanya lanskap yang lebih lestari.
Dekan FPTP, Profesor Madya Dr. Mohd. Lizam Mohd. Diah turut hadir menyempurnakan upacara perasmian program yang diadakan sejurus selesai aktiviti tersebut.
Menurut Mohd. Lizam, selain dapat mendekatkan diri dengan masyarakat, penganjuran program seumpama ini telah membuka ruang dan peluang kepada pelajar untuk meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi mereka sekali gus memberi nilai tambah kepada diri masing-masing untuk persediaan menghadapi alam pekerjaan kelak.
“Ini kerana UTHM berperanan melahirkan pelajar yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi serta menjadi tumpuan industri makanya kaedah pengajarannya haruslah tidak tertumpu kepada proses pembelajaran di dalam kelas semata-mata tetapi juga mementingkan aspek praktikal hasil dari ilmu yang dipelajari,” tambahnya lagi.