Atlet Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Nurul Hamira Yusma Yusri telah terpilih ke skuad futsal wanita kebangsaan bagi menghadapi Temasya Sukan Sea KL 2017 di Kuala Lumpur selepas melalui fasa pemilihan yang kompetetif.
Bakatnya dikesan oleh jurulatih kebangsaan melalui Liga Futsal IPT yang mana Nurul Hamira mewakili UTHM. Acara Futsal Sukan Sea akan berlangsung dari 18 hingga 27 Ogos 2017 di Stadium Tertutup Panasonic, Shah Alam.
Lebih membanggakan, Nurul Hamira merupakan satu-satunya pelajar universiti yang terpilih dalam skuad kebangsaan yang rata-ratanya dibarisi pemain berpengalaman dari skuad negeri yang bermain di Liga Futsal Kebangsaan (LFK). Kejayaannya mewakili skuad futsal wanita kebangsaan telah mencapai sasaran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melahirkan 30% atlet negara adalah dari atlet universiti yang digelar ‘The Thinking Athlete’. Semoga pencapaiannya akan mencetus inspirasi dalam kalangan warga UTHM.
Seorang lagi atlet UTHM, Ahmad Mustaqim Zainuddin telah terpilih mewakili Malaysia ke Kejohanan Futsal Asian-Oceania di Lingwu, China pada 16 hingga 26 September 2017. Kejohanan di bawah kelolaan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) ini menghimpunkan pasukan futsal universiti terbaik dari Asia dan Oceania.
UTHM mengucapkan tahniah selamat maju jaya kepada kedua-dua atlet ini dalam kejohanan yang akan disertai.
Pencapaian mereka telah membuktikan atlet dari universiti teknikal seperti UTHM juga boleh meraih pencapaian tertinggi dalam sukan selain akademik.
‘We Are UTHM Athlete Warrior’