Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 3 Mac 2026 – Semangat kebersamaan dan kepedulian sosial terus disemarakkan sepanjang Ramadan 1447H/2026 apabila Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Islam dan Masjid Sultan Ibrahim (MSI) melaksanakan pelbagai program sumbangan makanan dan infaq, melibatkan seramai 7,245 penerima dengan nilai keseluruhan sumbangan mencecah lebih RM50 ribu.
Pengarah Pusat Islam, Haji Shafry Salim berkata usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen institusi dalam memastikan keberkatan Ramadan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.
“Ramadan bukan sahaja bulan ibadah, tetapi juga bulan untuk kita memperkukuh ukhuwah dan berkongsi rezeki.
“Melalui program ini, Pusat Islam berhasrat memastikan manfaat Ramadan dapat dirasai oleh staf, pelajar, golongan asnaf dan juga komuniti setempat,” katanya.
Sepanjang Ramadan, Pusat Islam dan MSI bakal mengagihkan juadah iftar sebanyak 3,600 bungkus kepada warga kampus pada setiap hari bekerja.
Selain itu, bubur lambuk MSI sebanyak 3,200 bungkus hasil kerjasama sukarelawan ‘Geng Dapo MSI’ turut diedarkan kepada warga kampus pada setiap hari Rabu.
Bagi golongan asnaf fakir dan miskin, UTHM melalui Program Prihatin Asnaf bakal menyalurkan bantuan bernilai RM200 kepada setiap penerima, dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan harian.
Seramai 45 orang asnaf akan menerima sumbangan dari program itu yang akan berlangsung dalam empat siri sesi agihan.
Sementara itu, Program Singgah Sahur pula dilaksanakan dengan pengedaran 500 bungkusan makanan sahur kepada penjawat awam dan petugas shif malam di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Syarikat Air Johor (SAJ) dan beberapa agensi lain sekitar Batu Pahat Parit Raja dan Ayer Hitam.
Dalam menjayakan program-program yang dianjurkan itu, Pusat Islam turut menerima sumbangan dan kerjasama dari beberapa pihak lain seperti F&N Baverages Marketing Sdn. Bhd, Nasi Ayam Gepuk Wak Jo Batu Pahat, McDonald’s Parit Raja, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP).
Tambah Haji Shafry, pelaksanaan program seumpama itu bukan sahaja mengukuhkan peranan masjid sebagai pusat ibadah, malah sebagai pusat kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.
“Kami berharap usaha ini dapat memberi inspirasi kepada warga kampus dan masyarakat untuk terus berganding bahu dalam kerja-kerja kebajikan,” katanya.




Berita ini juga diterbitkan di:
1. Utusan (utusan.com.my), 4 Mac 2026: Semarak Ramadan: UTHM sumbang lebih RM50 ribu, rai 7,245 penerima
