Oleh Noor Nasriq Selamat, Suriayati Baharom
BATU PAHAT – Perjalanan menuntut ilmu Moganraj A/L Govindarajoo, 33 graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Penerbangan Profesional) Dengan Kepujian membuktikan bahawa impian besar tidak pernah mustahil bagi mereka yang berusaha tanpa henti.
Berasal daripada keluarga sederhana, beliau melangkah masuk ke universiti ini pada 2010 sebagai pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sebelum menamatkannya dengan segulung ijazah dan Anugerah Naib Canselor.
Pada 2013, beliau menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeronautik (Profesional Penerbangan) dengan satu cita-cita iaitu menjadi juruterbang.
Namun pada 2017, kekangan kewangan memaksa beliau menangguhkan pengajian.
Sambil mencari peluang menampung latihan penerbangan, beliau bekerja di Howard Alatpertanian dan kemudian diserap sebagai Penolong Jurutera.
Tahun 2019 membuka harapan baharu apabila beliau diterima ke program Kadet Juruterbang AirAsia dan Malaysia Airlines, tetapi pandemik Covid-19 telah menangguhkan impiannya.
Moganraj bangkit sekali lagi, memulakan kerjaya di Oversea Lighting sehingga dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Perniagaan.
Impian yang tertunda akhirnya kembali menyala pada 2022 apabila Malaysia Airlines memanggil beliau semula untuk memulakan latihan penerbangan.
Kini, Moganraj berdiri sebagai Kadet Juruterbang Pesawat Boeing 737-800 di Malaysia Airlines, sekali gus menutup perjalanan 12 tahun penuh cabaran, kegigihan dan doa.
Bagi Moganraj, konvokesyen ini bukan sekadar menerima skrol, tetapi simbol ketabahan seorang anak keluarga sederhana yang tidak pernah berhenti mengejar impian.
Dari bengkel kejuruteraan ke kokpit pesawat, inilah kisah seorang anak UTHM yang berpaut pada harapan dan tidak pernah menyerah.

Berita ini turut diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 9 Disember 2025: 12 tahun berjuang demi mimpi, Moganraj kini bersedia kemudi Boeing 737-800
