Oleh Norfauzan Md Sarwin

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA) memulakan tahun 2025 dengan melancarkan penubuhan Kelab Friends of PTTA pada 1 Januari 2025 bertempat di Pantai Bukit Batu, Senggarang, Batu Pahat.

Kelab Friends of PTTA diwujudkan sebagai platform untuk memperluas peranan perpustakaan, bukan sahaja dalam kalangan mahasiswa tetapi juga kepada masyarakat umum, institusi pendidikan, industri dan juga organisasi tempatan.

Pelancaran kelab tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pustakawan Kanan PTTA, Siti Afifah Che Ismail selaku wakil rasmi Ketua Pustakawan, dengan kehadiran lebih 50 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuklah pelajar, staf UTHM, badan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin komuniti tempatan.

Beliau dalam ucapannya berharap agar kelab itu dapat menjadi pemangkin hubungan yang lebih erat antara perpustakaan, mahasiswa dan masyarakat.

“Penubuhan kelab ini adalah langkah penting dalam memperkukuhkan peranan perpustakaan sebagai hab ilmu, kreativiti dan inovasi yang memberi impak positif kepada semua pihak,” katanya.

Ahli Kelab Friends of PTTA akan berperanan sebagai duta kecil PTTA dalam menyebarkan ilmu, mempromosikan budaya membaca dan menggerakkan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat bersama.

Sesi pelancaran tersebut turut diisi dengan aktiviti perkongsian ilmu dan pembersihan pantai (plogging) yang bertemakan ‘Friends of PTTA: Misi Bersih Pantai’ sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTTA.

Para peserta plogging berjaya mengumpul sampah dan barangan yang boleh dikitar semula sebanyak 200 kilogram.

Aktiviti itu dilaksanakan dengan kerjasama SWM Environment Sdn. Bhd. dan Yayasan UTHM dan turut mendapat sokongan Pejabat Kampus Lestari, sekali gus menyumbang kepada usaha pemeliharaan alam sekitar.

“Pelaksanaan aktiviti CSR seumpama ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha menjadikan perpustakaan sebagai pusat kecemerlangan ilmu, budaya dan inovasi.

“PTTA akan terus komited dalam memastikan kelab ini terus berkembang sebagai medium strategik dalam memacu pembangunan ilmu, budaya dan kesedaran alam sekitar di peringkat tempatan dan global,” tambah Siti Afifah.