Oleh Dr. Nurrul Hafeezah Sahak, Suriayati Baharom

NEW DELHI – Program Service-Learning Malaysia University for Society (SULAM) kendalian pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang dibentangkan oleh Pensyarah kanan, Dr. Nurrul Hafeezah Sahak dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) telah dianugerahkan ‘Fellowship’ oleh the George Institute for Global Health dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ketika menyertai ’15thWorld Conference on Injury Prevention and Safety Promotion’ yang diadakan pada 2 hingga 4 September 2024 di New Delhi, India.

Persidangan yang menghimpunkan pakar-pakar antarabangsa dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan itu bertujuan membincangkan langkah-langkah pencegahan kecederaan di tempat kerja serta komuniti.

Beliau membentangkan tajuk ‘Beyond the Lecture: Safety-Focused Service Learning’ yang memfokuskan kepada program SULAM.

Program SULAM berkenaan merupakan inisiatif 39 pelajar tahun ketiga Sarjana Muda Teknologi Kesihatan dan Kesihatan Pekerjaan, FTK dalam mempromosikan keselamatan dan pencegahan kecederaan yang dilaksanakan dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi sekitar Hab Pendidikan Tinggi Pagoh.

Dalam pembentangannya, Dr. Nurrul Hafeezah selaku penasihat program SULAM, menekankan pentingnya pendekatan proaktif dalam pembelajaran di peringkat pengajian tinggi.

“Pelajar digalakkan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam kuliah kepada masyarakat setempat, selain mampu meningkatkan lagi kemahiran kepimpinan dan komunikasi yang amat penting untuk persiapan menghadapi alam pekerjaan kelak,” katanya.

Persidangan yang berlangsung selama lima hari itu turut menyaksikan penglibatan wakil dari pelbagai negara, termasuk penyelidik, pembuat dasar, serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang turut sama berkongsi pandangan dan pengalaman dalam usaha memperkukuh amalan pencegahan kecederaan di peringkat global.

“Pengalaman menghadiri persidangan ini sangat berharga kerana saya berpeluang memperkenalkan program pelajar UTHM di peringkat antarabangsa.

“Program ini dikendalikan oleh pelajar universiti sebagai inisiatif untuk membantu mencegah kecederaan dan mempromosi keselamatan dalam masyarakat setempat.” tambah beliau.

Penyertaan itu membuktikan komitmen UTHM dalam menghasilkan program SULAM yang relevan di peringkat antarabangsa sehingga mendapat pengiktirafan dunia melalui persidangan seumpama itu.