Transformasi digital seperti teknologi imersif Realiti Maya (VR), Realiti Terimbuh (AR), dan Realiti Campuran (MR)) semakin mendapat perhatian dalam industri pembinaan global. Di Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) merupakan antara pihak yang memainkan peranan penting dalam memperkenal dan menggalakkan penggunaan teknologi moden ini dalam sektor pembinaan.

Berdasarkan laporan dan inisiatif CIDB, teknologi imersif dilihat sebagai elemen penting dalam mempertingkatkan produktiviti, keselamatan dan kualiti dalam industri binaan tempatan. Namun, sejauh manakah kesediaan pemain industri pembinaan di Malaysia untuk mengguna pakai teknologi imersif ini? Adakah kita masih selesa di takuk lama dan selesa dengan kaedah konvensional?

Pelbagai inisiatif dan program untuk mempercepatkan transformasi digital dalam industri pembinaan, termasuk menggalakkan penggunaan teknologi imersif sedang diusahakan sama ada dalam kalangan industri mahupun institusi pengajian. Salah satu program utama di bawah CIDB ialah Construction 4.0 Strategic Plan (2021-2025) yang bertujuan untuk memperkenalkan teknologi baharu seperti automasi, robotik, Internet of Things (IoT) dan teknologi imersif dalam sektor pembinaan. Program ini selari dengan visi kerajaan untuk mempertingkatkan daya saing industri melalui penggunaan teknologi terkini.

Dalam laporan tersebut, transformasi digital termasuk penggunaan teknologi imersif, adalah penting bagi mengatasi cabaran produktiviti yang rendah dan pergantungan berlebihan kepada buruh asing. Teknologi imersif dilihat dapat menyumbang kepada pengurusan projek yang lebih efisien, latihan pekerja yang lebih baik, serta peningkatan dalam reka bentuk dan perancangan projek.

Menurut kajian dan tinjauan yang dijalankan oleh CIDB juga, kesedaran tentang teknologi imersif dalam kalangan syarikat pembinaan Malaysia masih pada tahap yang sederhana. Laporan Construction Industry Transformation Programme (CITP) 2016-2020 menyebut bahawa meskipun banyak syarikat telah mula menggunakan teknologi digital seperti Building Information Modelling (BIM), penerapan teknologi imersif masih belum meluas.

Sebagai contoh, penggunaan BIM, yang mempunyai unsur-unsur teknologi imersif telah berkembang dalam sektor pembinaan Malaysia dengan sokongan CIDB. Walau bagaimanapun, data daripada CIDB menunjukkan bahawa pada tahun 2020, hanya 13.5% syarikat pembinaan di Malaysia yang secara aktif menggunakan BIM. Angka ini menunjukkan bahawa walaupun terdapat peningkatan kesedaran mengenai teknologi digital, penerapan teknologi imersif sepenuhnya seperti VR dan AR masih di tahap awal.

Usaha memperkasakan teknologi imersifi bukan hanya di Malaysia, malah di luar negara seperti University of Melbourne dan Cambridge University adalah merupakan ‘lubuk’ yang sangat siknifikan dalam penyelidikan berteraskan teknologi imersif, dengan peranan utama dalam memacu inovasi, menyediakan pendidikan khusus dan bekerjasama dengan industri.

Peranan pusat-pusat penyelidikan seperti Melbourne Human-Computer Interaction (HCI) Group dan Centre for the Future of Intelligence (CFI) di University of Cambridge menjadi tulang belakang dalam memperkaya pengetahuan tentang aplikasi teknologi ini dalam sektor pembinaan, pendidikan, kesihatan dan reka bentuk, serta membina keupayaan masa depan yang lebih canggih dan lestari di peringkat global.

 

Kehebatan teknologi imersif dalam projek pembinaan

Teknologi imersif menyumbang kepada perubahan paradigma dalam sektor pembinaan. Teknologi ini terutamanya VR dan AR, memungkinkan arkitek, jurutera dan pihak berkepentingan lain untuk melibatkan diri secara lebih mendalam dalam fasa reka bentuk. Sebagai contoh, VR menyediakan pengalaman realiti maya yang membolehkan para profesional “berjalan” dalam reka bentuk bangunan sebelum pembinaan sebenar bermula. Ini memberi peluang untuk mengenal pasti kelemahan dalam reka bentuk atau potensi masalah teknikal lebih awal, sekali gus mengurangkan kos pembetulan pada peringkat akhir. Selain itu, AR boleh digunakan untuk menggabungkan elemen reka bentuk dalam dunia nyata, membolehkan pemeriksaan reka bentuk berbanding tapak sebenar secara langsung.

Melalui kolaborasi maya ini, pelbagai pihak dari pelbagai lokasi dapat bekerjasama secara serentak dalam masa nyata, membolehkan keputusan yang lebih cepat dan efisien. Teknologi ini juga membolehkan pembinaan yang lebih sesuai dengan kehendak klien kerana mereka dapat terlibat secara langsung dalam proses reka bentuk dengan memberikan maklum balas yang lebih mendalam melalui interaksi langsung dengan model imersif.

Dalam pengurusan projek pembinaan, keupayaan teknologi imersif untuk memantau dan mensimulasikan perkembangan projek sangat bermanfaat. MR sebagai contoh, membolehkan pengurus projek untuk memantau perkembangan pembinaan berbanding dengan model reka bentuk digital secara langsung di tapak pembinaan. Ini membantu memastikan bahawa projek berjalan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan. Selain itu, teknologi imersif juga membolehkan visualisasi pelbagai senario simulasi yang dapat membantu pengurus projek dalam membuat keputusan yang lebih baik berkaitan dengan logistik, keselamatan dan pengagihan sumber. Sebagai contoh, simulasi VR dapat digunakan untuk menguji kebolehlaksanaan logistik di tapak pembinaan dan mengurangkan potensi masalah yang mungkin timbul.

Bukan itu sahaja, keselamatan merupakan isu utama dalam projek pembinaan, dan teknologi imersif memberikan penyelesaian yang signifikan untuk meningkatkan keselamatan di tapak pembinaan. Melalui penggunaan VR, pekerja boleh dilatih dalam persekitaran yang mensimulasikan tapak pembinaan sebenar tetapi dalam suasana yang terkawal dan selamat. Ini membantu mereka mempelajari prosedur keselamatan dan mengatasi potensi bahaya sebelum terdedah kepada risiko sebenar.

AR pula dapat digunakan di tapak pembinaan untuk memberi amaran kepada pekerja tentang bahaya atau perubahan di lokasi dalam masa nyata. Dengan menggabungkan visualisasi digital dan dunia fizikal, AR dapat menyediakan data kritikal seperti maklumat struktur atau isyarat bahaya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Salah satu kelebihan teknologi imersif adalah keupayaannya untuk mengurangkan kos dan masa dalam pembinaan. Melalui simulasi awal dan pengesanan masalah lebih awal, pembetulan yang mahal dan masa terbuang dapat dielakkan. Teknologi seperti AR dan MR membantu memastikan ketepatan pembinaan dan mengelakkan kerja semula, yang sering menjadi punca utama pembaziran dalam sektor ini.

Selain itu juga, proses latihan melalui VR juga boleh mengurangkan masa latihan pekerja kerana mereka dapat menguasai kemahiran yang diperlukan dalam masa yang lebih singkat, tanpa perlu terdedah kepada persekitaran pembinaan yang berbahaya atau rumit pada awalnya.

 

Cabaran penerapan teknologi imersif

Salah satu cabaran utama dalam penerapan teknologi imersif di Malaysia ialah kos yang tinggi dan kekurangan tenaga kerja yang mahir. Kos teknologi dan kurangnya kemahiran digital dalam kalangan tenaga kerja pembinaan merupakan halangan utama bagi syarikat pembinaan kecil dan sederhana (SME) untuk mengintegrasikan teknologi seperti VR dan AR.

Sektor awam dan swasta perlu bekerjasama untuk membina ekosistem teknologi digital yang lebih mampan dalam industri pembinaan. Pihak kerajaan juga telah mula mengambil langkah untuk memberi insentif kepada syarikat yang melabur dalam teknologi pembinaan digital, termasuk teknologi imersif, melalui geran dan dana insentif.

Secara keseluruhan, teknologi imersif membawa pelbagai manfaat kepada industri pembinaan, termasuk kecekapan reka bentuk yang lebih baik, pengurusan projek yang lebih cekap, peningkatan keselamatan, kawalan kualiti yang lebih tepat, serta pengurangan kos dan masa. Dalam dunia yang semakin canggih dan pantas, keupayaan teknologi imersif untuk menyediakan pengalaman interaktif dan realistik telah menjadi salah satu kekuatan terbesar dalam merevolusi industri pembinaan. Namun, usaha ini hanya akan menjadi “angan-angan Mat Jenin” sahaja jika tiada kesepakatan bersama semua pemain industri binaan.

 

 

 

Profesor Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom

Penyelidik Utama

Pusat Penyelidikan Pengurusan Infrastruktur Lestari dan Alam Sekitar (CSIEM)

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)