LANGKAWI – Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan persidangan antarabangsa, International Symposium on Civil and Environmental Engineering (ISCEE 2024) untuk kali yang ke-5 pada 18 dan 19 September 2024 lalu.
Persidangan yang merupakan acara dwi-tahunan itu dijalankan secara fizikal bertempat di Adya Hotel, Pulau Langkawi, manakala bagi persidangan secara maya pula menggunakan aplikasi ‘Google Meet’.
Sebanyak 90 kertas kerja penyelidikan telah dibentangkan mengikut tema persidangan oleh peserta dari Malaysia, Indonesia, Jepun, India dan juga Serbia.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim.
Hadir sama ke persidangan tersebut, Dekan FKAAB, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Haziman Wan Ibrahim.
Bertemakan ’Embracing New Ideas for a More Sustainable Earth,’ sesi ucaptama disampaikan oleh tiga pakar iaitu Prof. Ir. Dr. Noridah Mohamad dari UTHM dengan tajuk ’IBS Green Precast Technology – Towards Embracing Smart and Sustainable Construction.’
Bagi sesi ucaptama kedua oleh Ts. Rofizlan Ahmad. Ketua Pegawai Eksekutif dari CIDB E-Construct Services Sdn. Bhd. bertajuk ‘Transforming the Construction Industry: The Role of BIM in a Digital Future.’
Sesi ucaptama yang terakhir disampaikan oleh Prof. Dr. Ignasius D.A. Sutapa dari APCE – UNESCO C2C dengan tajuk ucaptama beliau ‘Strengthening Sustainable Water Resources Management and Ecosystem Services through Ecohydrology Nature-Based Solution.’
Menurut pengerusi persidangan, Ir. Dr. Sallehuddin Shah Ayop persediaan rapi hampir setahun telah dibuat bersama ahli jawatankuasa bagi memastikan persidangan tersebut berjalan lancar.
“Semua ahli jawatankuasa telah bertungkus lumus untuk memastikan perjalanan persidangan berjalan lancar, bermula dari kerja-kerja promosi sehingga pelaksanaan ujilari persidangan.
“Pihak kami juga menerima maklum balas positif daripada peserta dan ini membuktikan persidangan ini sudah diterima oleh penyelidik dunia sebagai satu platform pembentangan bertaraf antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Dekan Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan FKAAB, Profesor Madya Dr. Rafidah Hamdan merangkap timbalan pengerusi persidangan pula berkata penganjuran persidangan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif memperkenalkan fakulti di persada dunia sekali gus menjadikannya sebagai medium perkongsian penulisan ilmiah.