Oleh Dr. Nofrizalidris Darlis, Dr. Faridah Hanim Mohd Noh, Ts. Dr. Izuan Amin Ishak
PAGOH, 19 Feb 2024 – Bagi mempromosikan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima kunjungan 36 pelajar Program Asasi Politeknik Ungku Omar (PUO), Perak bersama tiga pensyarah pengiring.
Kunjungan rasmi tersebut dilaksanakan rentetan daripada lawatan Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim bersama Dekan-dekan fakulti ke PUO pada 10 Januari lalu, yang diuruskan oleh JK HEPA, FTK dengan kerjasama fakulti-fakulti dan pusat tanggungjawab yang dilawati.
Menurut Dekan FTK yang juga penaung program, Prof. Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Sukor, program tersebut adalah salah satu platform dan strategi yang baik bagi mempromosikan UTHM kepada warga kerja PUO dalam menggalakkan pelajar mereka untuk menyertai FTK UTHM.
“Ia juga boleh dijadikan sebagai suntikan semangat kepada pelajar Asasi TVET untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi setelah mendapat pendedahan berkaitan kesediaan UTHM terutamanya dalam menyediakan platform yang terbaik untuk mereka menyambung belajar ke peringkat sarjana muda,” katanya.
Program yang berlangsung selama tiga hari di Kampus Pagoh dan Parit Raja, bermula dari 17 sehingga 19 Februari itu telah diisi dengan beberapa aktiviti antaranya lawatan ke Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Fakulti Pendidikan Teknologi dan Vokasional (FPTV), Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Perpustakaan Tunku Tun Aminah, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Teknologi (FTK), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, serta Pusat Pengajian Diploma (PPD).
Para pelajarnya telah dibawa mengunjungi beberapa makmal yang terpilih antaranya Makmal Aeronautic, Makmal Oil and Gas (FKMP), Makmal Geotechnical Engineering, Makmal Traffic & Transportation Engineering, Makmal Environmental Analysis, Makmal Jamilus Research Center (FKAAB), Makmal Kawalan Industri, Makmal Kawalan Servo dan Makmal Robotik Industri (FKEE), Makmal Audio dan Video, Makmal CISCO dan Makmal Aruba (FSKTM), serta Makmal Festo Industry (Automation), Makmal Aircond dan Makmal Multimedia (FPTV).
Bagi kunjungan di FTK pula, delegasi dari PUO telah mengunjungi Makmal i-COE Rel, Makmal IoT, Unitech Autowork, dan Makmal Geometik.
Mereka juga berpeluang melawat makmal di Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) seperti Makmal Teknologi Makanan, serta makmal di bawah PPD iaitu Makmal Animasi.
“Program kunjungan ini dapat memberi pendedahan kepada staf serta pelajar dari PUO mengenai kesediaan UTHM dalam menerima pelajar-pelajar asasi TVET menerusi fasiliti dan tahap kepakaran staf sedia ada.
“Program ini juga diharap agar dapat memotivasikan para pelajar asasi TVET PUO agar menyambung pengajian di peringkat sarjana muda di FTK dan juga di fakulti lain di UTHM.
“Pelaksanaan inisiatif ini selaras dengan sasaran universiti untuk meningkatkan bilangan enrolmen pelajar ke UTHM pada tahun 2024 iaitu sebanyak lebih 21 ribu pelajar,” tambah Dr. Jumadi.